Rencana

DAP, PKR dan PAS Pusat perlu bertegas sekiranya PAS Kelantan membelakangkan pendirian Majlis Pimpinan

DAP, PKR dan PAS Pusat perlu bertegas sekiranya PAS Kelantan membelakangkan pendirian Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015

Pada 8 Februari 2015, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah diadakan di Pejabat Agung PAS dan dihadiri oleh semua pimpinan tertinggi PAS, PKR dan DAP. Mesyuarat tersebut merupakan kali terakhir dipengerusikan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum beliau dipenjarakan pada 10 Februari 2015.

Dalam mesyuarat tersebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Nik Amar Abdullah mewakili Kerajaan Negeri Kelantan melaporkan kepada mesyuarat bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan membentangkan beberapa pindaan kecil kepada Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993.

DAP menegaskan bahawa sebarang pembentangan perlu dirujuk dan mendapat konsensus daripada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dan DAP tetap tidak akan menyokong pelaksanaan enakmen tersebut. Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bersetuju bahawa draf pindaan tersebut akan dirujuk semula kepada Majlis Pimpinan PR dalam masa sebulan.

Maka, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Wan Azizah, wakil Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Takiyuddin Hassan telah membentangkan draf “Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015” yang mempunyai 71 fasal dan 4 Jadual.

Draf Rang Undang-undang tersebut memeranjatkan semua wakil DAP dan PKR yang hadir kerana ia bukan merupakan satu draf pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 tetapi merupakan satu draf Kanun Jenayah Syariah 2015 yang baru yang merangkumi semua aspek dalam Kanun tersebut!

Pada kebiasaannya, sebarang Rang undang-undang untuk meminda mana-mana Akta Parlimen atau Enakmen Negeri yang telah pun diluluskan sebelum ini, hanya merangkumi fasal-fasal yang ingin dipinda tanpa perlu membentangkan sebarang fasal yang telah pun diluluskan. Tetapi dalam kes ini, satu Rang undang-undang yang baru akan dibentangkan oleh PAS Kelantan.

Wakil DAP dan PKR membantah keras dalam mesyuarat tersebut dan menghujahkan bahawa ini bukan merupakan satu pindaan kepada Enakmen sedia ada tetapi merupakan satu Rang undang-undang yang baru. Ia juga menunjukkan bahawa Dato’ Nik Amar Abdullah tidak bertindak jujur dan sengaja mengelirukan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam mesyuarat 8 Februari 2015!

Kami juga menghujahkan bahawa apa pun keputusan Dewan Undangan Negeri Kelantan terhadap Rang Undang-undang ini, Kanun Jenayah Syariah atau Hudud tetap tidak boleh dilaksanakan di Kelantan kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Jadi, mengapakah PAS Kelantan begitu tergesa-gesa untuk membentangkan Rang undang-undang ini dan jatuh ke dalam perangkap UMNO yang mahu menggunakan isu ini untuk memecahkan Pakatan Rakyat?

PAS Kelantan perlu menjelaskan secara terbuka termasuk kepada ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS mengapa perlunya satu Enakmen yang telah diluluskan pada tahun 1993 dibentangkan sekali lagi pada tahun 2015? Apakah sebenarnya Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 tidak wujud secara sah selama ini?

Perkara ini amat serius dan memberikan implikasi yang besar kepada Pakatan Rakyat kerana selama ini Pakatan Rakyat mengambil pendirian untuk “agree to disagree” dalam isu Hudud berpaksikan bahawa Enakmen Jenayah Syariah telah wujud sejak 1993 sebelum terbentuknya Pakatan Rakyat pada tahun 2008. Ini amat jelas dalam Kenyataan Bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 28 September 2011 yang berbunyi seperti berikut;

“Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.”

Sekiranya PAS Kelantan membentangkan satu Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah yang baru pada 18 Mac 2015 ini di Dewan Undangan Negeri Kelantan, maka ia bermaksud kepercayaan yang diberikan kepada PAS selama ini dalam kerangka Pakatan Rakyat telah dicabuli sendiri oleh PAS Kelantan!

Pendirian DAP dalam isu hudud selama ini amat konsisten, jelas dan tegas iaitu DAP tidak akan menyokong pelaksanaan hukum hudud di mana-mana negeri dalam Persekutuan Malaysia kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks kepelbagaian kaum dan agama masyarakat majmuk di Malaysia.

Pemimpin-pemimpin DAP termasuk saya sendiri telah berusaha untuk menghakis ketakutan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dalam kempen PRU13 berdasarkan konsensus bahawa Hudud bukan merupakan agenda bersama Pakatan Rakyat dan PAS bersetuju bahawa pelaksanaan hudud bukan merupakan prioriti dalam keadaan Malaysia pada hari ini yang lebih memerlukan keadilan sosial dan sebuah negara berkebajikan!

Isu yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat pada hari ini bukan sahaja berkenaan perbezaan pendirian PAS dan DAP dalam isu pelaksanaan hudud tetapi prinsip-prinsip asas dalam kerangka kerjasama Pakatan Rakyat iaitu keputusan berdasarkan konsensus dan kejujuran parti masing-masing dalam mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat telah dicabuli.

Kepimpinan DAP, PKR dan PAS Pusat perlu mengambil satu keputusan yang tegas sekiranya PAS Kelantan membelakangkan pandangan dan pendirian DAP dan PKR dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 dan tetap membentangkan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah 2015 pada 18 Mac ini di DUN Kelantan.

*Kenyataan media Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook pada 16 Mac 2015, di Kuala Lumpur – Roketkini.com