Rencana

Merit hujah dan bayang sakral agama hudud

Mungkin sudah menjadi takdir zaman, hudud sentiasa menjadi isu panas yang akan menggegak-gempitakan seluruh negara. Malah isu ini menjadi penting di mana- mana negara majoriti umat Islam yang mempunyai parti Islam atau gerakan Islamnya yang tersendiri. Dalam konteks Malaysia, tidak keterlaluan dikatakan bahawa raison d’être PAS itu sendiri adalah untuk menegakkan negara syariah yang dalamnya terkandung undang-undang syariah seperti hudud.

Sebagai menghormati sebab kewujudan PAS, malah media alternatif pun telah menjalankan tinjauan pendapat rakyat Kelantan dan keputusannya majoriti bersetuju supaya hudud dilaksanakan. Malah proses pelaksanaan menggubal Enakmen Kanun Syariah II juga berlangsung mengikut proses demokrasi dan undang- undang yang sah.

Maka atas semangat demokrasi yang sama juga, PAS perlu bersedia menghargai sebarang kritikan yang diajukan kepada kanun Syariah mereka. Amat tidak wajar melabelkan mereka yang mengkritik pelaksanaan hudud sebagai tidak beriman dan penipu yang tidak bermoral.

Merit hudud ke atas merit sekular

Berangkat dari premis demokrasi juga, penyokong hudud atau penentang hudud wajar melangkah ke wacana yang lebih baik. Berpuluh tahun isu hudud tenggelam dan timbul, apakah kewajaran mengulang-ulang bahawa menolak hudud tidak beriman, hudud kewajipan dalam Islam, hudud adalah kediktatoran agama dan semisalnya?

Jika “public reason” atau alasan rakyat secara majoriti menyokong usul hudud, suara-suara selainnya, walaupun non-Muslim, tidak boleh disekat. Input positif atau negatif berperanan dalam ruang awam dalam bentuk wacana/debat/media sosial diperlukan supaya hak syura yang diagihkan antara rakyat itu membentuk apa yang disebut sebagai “legitimasi” atau absahnya sesuatu hujah yang kemudian membentuk absahnya “sulthah” atau kuasa. Kemudian barulah absah perubahan. Inilah keorganikan proses perubahan itu. Hujah abstrak agama tak boleh diberi imuniti dgn mengatakan siapa yang tak menyokong sebagai tidak beriman, namun, dalam masa yang sama harus kekal proses wacana dalam hormat menghormati.

Adalah lebih baik mengetahui hujah dan merit hudud dari bermain isu yang kelihatan abstrak seperti iman. Antara yang boleh dibincangkan adalah pengisytiharan harta oleh pemimpin dan juga sultan sebelum melaksanakan hudud. Bagaimana ini tidak penting sekiranya Nabi pernah menyebut, “Sekiranya anakku Fatimah mencuri maka potong tangannya”? Hal ini penting supaya mencapai maksud keadilan dalam melaksanakan syariat.

Begitu juga hal yang boleh dibangkitkan tentang pertindihan kuasa yang akan terjadi antara bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Secara umum, apa sahaja yang melibatkan kuasa mahkamah syariah, tidak boleh dicampuri oleh mahkamah sivil. Tetapi secara praktikalnya, konflik sentiasa berlaku. Bidang mahkamah sivil mempunyai penyenaraian dalam jadual kedua-dua perlembagaan mahkamah syariah dan sivil. Bidang kuasa mahkamah syariah juga disenaraikan dalam akta (atau enakmen bagi negeri) pentadbiran syariah. Antara kes yang pernah berlaku sebelum hudud dilaksanakan pun dirujuk kepada Subashini v Saravanan dan isu kalimah Allah.

Betapa susahnya bermain isu iman, jika kita mencintai hudud sekaligus percaya bahawa sistem mahkamah tidak bebas, hakim dibeli kepentingan, tafsiran mencuri yang dihalalkan undang-undang untuk golongan kapitalis, dapat melaksanakannya, di manakah iman kita? Maka merit hujah menjadi penentu utama adakah hudud wajar atau tidak.

Kesangsian terhadap pelaksanaan hudud sebenarnya berpunca dari kelemahan mengulang wacana yang sepatutnya sudah selesai berpuluh tahun dahulu!

Bayang Sakral Agama

Sebagai seorang Muslim, tentu sekali saya wajib beriman bahawa hudud adalah hukum yang termaktub dalam Al-Quran. Wajib beriman termaktub dalam Al-Quran tidak bermakna pelaksanaannya tidak boleh dihujahkan dan diperlukan penelitian. Bahkan masyhur dalam sejarah bahawa Imam Abu Zuhrah pernah mengkritik kepercayaan ramai tentang hukum rejam termasuk dalam hudud, pendapat potong tangan termasuk kepada non-Muslim berdasarkan mazhab Hanbali dan Maliki tetapi tidak dipersetujui mazhab Hanafi. Begitu juga dengan ulama kontemporari seperti al-Qaradawi, Tariq Ramadan, al-Raisuni yang memfatwakan hudud perlu ditangguhkan.

Bahkan boleh diberi contoh lain untuk memudahkan pemahaman bahawa solat wajib bagi seorang Muslim, tetapi cara melaksanakan solat bersifat berubah mengikut keadaan seperti musafir, sakit dan sebagainya.

Hal ini semua menunjukkan bahawa pelaksanaan hudud adalah bersifat ijtihad atau pendapat yang sesuai dengan maslahah atau kebaikan. Bahkan pembacaan di DUN Kelantan dinamakan sebagai Pindaan Enakmen Syariah II. Bila ia boleh dipinda, siapa yang berani berkata bahawa ia putus seratus peratus tidak boleh dikritik sebagai tidak beriman?

Perkara ini yang saya selalu tegaskan kepada kawan-kawan liberal bahawa jangan terperangkap dengan permainan bayang sakral agama. Secara idealnya, ya, masih ramai yang menganggap bahawa hudud adalah hukum sakral yang tidak boleh disentuh. Tetapi di dunia praktikal yang realistik, ia telah pun digubal apabila dikritik, seumpamanya sewaktu pembacaan baru ini di DUN Kelantan, tentang perempuan mengandung tanpa suami asalnya di bawah hudud lalu jatuh di bawah takzir.

Kalau masih mahu berhujah bahawa agama mempunyai cengkaman terhadap merit hujah, fatwa penangguhan hudud oleh ulama tersohor kontemporari juga harus ditolak.

Apa sahaja yang sudah sampai ke tangan manusia, ia tak berupaya murni dan sakral sekalipun ia dipetik dari teks yang sakral. Maka ia sudah jadi undang- undang manusia atas rasional bukan ‘ipso facto’ dari Tuhan. Ratiblah sejuta kali ideal mengatakan ia sakral pun, ia tetap tidak sakral. Ini juga pendapat ilmuwan fiqh dan undang-undang semasa seperti Khaled Abou elFadl.

Jadi apa yang perlu ditakutkan lagi jika ia sudah tidak sakral? Boleh dikritik, dipinda, dibahas, dihujah malah dibuang jika kehendak majoriti mahukan sedemikian!

Sewajarnya atas semangat demokrasi, mengkritik pelaksanaan tidak salah, tetapi menekan kehendak majoriti amat berbahaya sekali. Apatah lagi enakmen terbabit baru dibentangkan, belum diwartakan. Apa masa depan demokrasi kita?

*Asyraf Muiz Roslan adalah pelajar Fakulti Syariah Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. – Roketkini.com