Berita

Kerajaan beli jet peribadi baru, kenapa tak boleh subsidi pengangkutan awam?- Chin Tong

KLUANG, 21 MAC: Akuan Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai kononnya tidak mengetahui kenaikan kadar tambang bas, teksi dan keretapi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah satu lagi drama kerajaan UMNO dan Barisan Nasional.

Kenaikan itu disahkan oleh SPAD berkuatkuasa serta-merta ke atas teksi, sementara bas ekspres bermula 15 Mei ini. Ia melibatkan kenaikan kadar 25 sen setiap 200 meter berbanding 10 sen setiap 115 meter sebelum ini. Namun kadar RM 3 yang dikenakan sebaik penumpang menaiki teksi tidak berubah.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong hari ini menyifatkan drama ‘tidak tahu-menahu’ di antara SPAD yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan itu sebagai tidak masuk akal dan betapa tidak cekap pentadbiran UMNO di bawah Perdana Menteri Najib Tun Razak.

“Ini kes klasik ‘tangan kiri kerajaan tidak tahu-menahu apa yang tangan kanan sedang buat’, pimpinan Najib ini pelik, tak masuk akal dan langsung tidak efisien.

“Kerajaan Malaysia ada penyusunan institusinya yang paling tidak masuk akal apabila pentadbiran sektor pengangkutan tidak boleh berkata apa-apa mengenai pengangkutan awam.

“Liow mesti desak kabinet supaya SPAD diletak di bawah pengurusan Kementerian Pengangkutan. Dia tidak boleh biarkan drama ini berlanjutan seolah-olah kanser sudah melarat dalam sistem politik kita.

“Apabila badan seseorang itu berfungsi sendirian tanpa ikut arahan otak, ini kita namakan kanser,” ujar Chin Tong.

Sehubungan itu juga, Chin Tong mengatakan Najib mempunyai tanggungjawab untuk batalkan keputusan SPAD itu yang dilihat terlalu membebankan rakyat.

“Najib tidak boleh lari dari tanggungjawab politiknya terhadap keputusan SPAD. Dia mesti batalkan kenaikan kadar tambang itu secepat mungkin.

“Jika kerajaan sangat kaya untuk beli jet peribadi baru, tidak ada alasan kenapa bas tidak diberi subsidi oleh kerajaan.

“Pengangkutan awam memerlukan idea-idea baru, ia adalah barangan sosial. Jika semakin ramai guna pengangkutan awam, maknanya semakin kurang orang memandu di jalan raya.

“Kita perlukan anjakan paradigma dari kerajaan yang berbelanja untuk bangunkan jalanraya kepada sebuah kerajaan yang berbelanja untuk pembelian bas,” tegas Chin Tong lagi.-Roketkini.com