Rencana

Pelaksanaan hudud menurut pengalaman belajar seorang budak 

Ketaksuban dan keghairahan memang suatu perkara yang sangat luar biasa bagi manusia. Ia mampu mendorong manusia melakukan hal yang sangat baik hingga tak terkata, termasuk yang pelik hingga mulut ternganga.

Dalam beragama (Islam), setiap hal ibadah yang diajar dan dianjurkan kepada kita adalah dengan melakukan penuh keikhlasan – inilah hal ingin dicapai, bukannya pahala. Jika ada yang masih percaya tujuan ibadah untuk dapat pahala, maka dia layak menjadi ulama.

Kita juga sering diingatkan bahawa keikhlasan melakukan ibadah itu perlu mengikut kemampuan upaya diri dengan mengutamakan yang utama dan dengan teratur (tertib) dan berterusan (istiqamah).

Proses diri

Dulu sewaktu di sekolah rendah, saya meminta ibu saya menghantar saya ke sekolah seni di luar negara untuk segera belajar bidang tersebut tanpa melalui sekolah menengah dan menempuh ujian SRP dan SPM yang melecehkan.

Tetapi ibu saya yang tak bersekolah tinggi itu mengetuk kepala saya dan memberitahu bahawa saya perlu melalui proses pendidikan asas ini dahulu. Jangan terus nak melompat dan buat benda yang hanya ikut selera sendiri tanpa menekuni proses dan asas pengetahuan yang mencukupi.

Akhirnya saya berjaya belajar ke universiti.

Sewaktu di tahun pertama lagi, saya cukup ghairah dan mahu membuat tugasan di tahap silibus pelajaran tahun tiga. Saya memilih itu kerana saya fikir ia cabaran yang bagus, selain kerana saya juga yakin mampu membuatnya dan itu tahap kemajuan yang ingin segera saya capai.

Pensyarah tak menghalang keinginan saya walaupun sudah diberi peringatan, saya pun bangga dan buat dengan bersungguh-sungguh. Dan hasilnya saya gagal subjek tersebut.

Subjek itu adalah subjek paling penting dalam kursus kami. Kesannya telah mengubah keseluruhan perjalanan pendidikan saya seumur hidup.

Ia mengingatkan saya kepada pesan ibu dahulu. Saya mengambil masa lebih dari sepuluh tahun untuk kembali semula ke pangkal dan melakukan semula proses itu dan dalam keadaan yang lebih payah lagi, bermula dari bawah, bertolak dari kosong hingga saya sampai di sini, hari ini. Itu pun terhuyung-hayang lagi.

Lupa atau tak peduli

Dipendekkan kisah dari teladan si budak ini, saya sangat yakin bahawa pada hari ini saya sedang melihat diri saya yang dahulu – taksub dan ghairah. Kini apabila segelintir manusia berlumba-lumba ingin melaksanakan apa yang dikatakan ‘Hukum Tuhan’, saya seperti menonton ulang tayang filem.

Saya bersetuju pandangan Dr. Muhd. Asri Zainal Abidin apabila beliau berkata “Kita tidak boleh mempertikaikan hukum Allah, tetapi kita boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan penafsiran hukum berkenaan oleh manusia.” Maka inilah dasar saya bila membicarakan soal Hudud Pas ini.

Saya tertanya-tanya adakah kumpulan ini telah melalui dan menyudahkan proses kefahaman yang mencukupi sebagaimana fitrah manusia, yang menconteng sebelum tahu menulis, bertatih sebelum boleh berjalan, dan berjalan sebelum mampu terbang.

Suspek utama dalam hal ini saya rasakan ialah ketaksuban dan keghairahan. Ia menjadi pendorong utama berlakunya kacau-bilau politik. Kumpulan ini juga berhujah bahawa ‘hak demokrasi’ mereka untuk Hudud di Kelantan.

Memang dalam asas demokrasi, kumpulan minoriti juga ada hak. Dan jangan lupa, kumpulan minoriti ini di Malaysia cukup banyak, bukan puak itu saja.

Namun, bukan hak demokrasi itu yang ingin saya bahaskan. Sebaliknya saya ingin bicara hal sebelum hak-hak demokrasi itu datang atau terguna pakai sebagai hak kumpulan tersebut.

Jika kita semak kembali sejarah Islam dan Nabi, pernahkah kita terfikir mengapa di kala Islam muncul dan sedang  berkembang, di kala itu firman Tuhan itu diturunkan dalam bentuk ayat Makkiyah bukan Madaniyah?

Ayat Makkiyah ini semuanya tentang keimanan, sejarah umat lampau yang mengandungi pengajaran tentang akhlak, budi pekerti dan nilai-nilai kerohanian yang lain.

Nyata sekali ini menunjukan pada zaman awal itu, proses pendidikan atau asuhan kepada diri manusia sedang berjalan. Dan ia amat penting sebelum ayat Madaniyah (tentang hukum hakam) turun dan disebarkan.

Kembali dalam konteks Malaysia. Adakah kita lupa atau tak peduli untuk mereformasikan sistem-sistem dalam negara yang rosak dan korup ini terlebih dahulu sebelum ‘Hukum Tuhan’ itu dapat ditegakkan?

Adakah kita lupa atau tak peduli untuk memperbaharui kepercayaan kita pada lembaga-lembaga daulah negara yang disangsikan integritinya, terlebih dahulu, sebelum kita cukup yakin akan mampu melaksanakan ‘Hukum Tuhan’ ini dengan adil dan betul.

Yang saya lihat sekarang adalah kita ingin cepat skor markah dan dapat hasil (result), tanpa memahami mengapa perlunya proses-proses ini dilalui terlebih dahulu.

Ada yang bertanya, sampai bila proses ini akan selesai hingga ‘Hukum Tuhan’ itu dapat dilaksanakan. Ada yang pula yang kata, tempoh proses untuk suasana menjadi kondusif itu sangat subjektif.

Proses kematangan akalbudi manusia memang memakan masa yang panjang, apatah lagi ia melibatkan manusia lain yang ramai dan sangat merencam budaya dan pemikirannya.

Demokrasi yang kita sedang guna pakai hari ini pun telah melalui proses yang amat lama. Ayat-ayat Al-Quran yang kita ada pada hari ini pun, bukan diturunkan serentak pada 1 malam.

Semuanya memerlukan proses yang memakan masa. Rantau ini menerima Islam 600-700 tahun selepas kewafatan nabi. Kita merdeka pun baru setengah abad!

Secara prinsipnya juga kita sedang melaksanakan ‘Hukum Tuhan’ itu ketika ini apabila kita lawan rasuah, kita lawan salah guna kuasa, kita lawan fitnah, kita lawan kezaliman dan kita lawan ketidakadilan.

Soal untuk menginstitusikan ‘Hukum Tuhan’ ini, biar generasi hadapan yang memilihnya. Keperluan generasi hari ini ialah menyediakan ruang untuk kita semua melalui proses-proses itu sebelum kita dan generasi hadapan dapat membuat pilihan.

Iman, akidah dan akhlak juga perlu melalui proses yang sama, ia memakan masa dan proses yang panjang untuk ‘masak’ dalam diri seseorang.

Tanpa melalui dan menyudahkan proses ini, yang akan terus wujud hanyalah tipu daya politik. Lebih malang lagi, bila kita membiarkannya berlaku dan kita menyangka telah mencapai tingkat keimanan yang tinggi.