Budaya

Rukmini, pengantin yang dilarikan

Kisah yang paling menonjol dalam epik Mahabharata adalah peperangan besar di Kurushetra melibatkan Pandava lima bersaudara di satu pihak dan seratus sepupu mereka, Kaurava, di pihak yang satu lagi.

Walau bagaimanapun, ada banyak kisah sampingan yang saling berkaitan dan saling melengkapkan jaringan atau sesawang besar yang membentuk epik berkenaan.

Suatu kisah yang muncul dalam minda adalah mengenai perkahwinan antara Dewa Krishna dan Rukmini yang sama sahaja seperti jalan cerita begitu banyak filem Tamil dan Hindi pada masa kini.

Kisah bermula di Vidarbha yang diperintah Raja Bhishmaka. Baginda mempunyai lima putera dan seorang puteri. Putera sulung bernama Rukma manakala puteri tunggal bernama Rukmini.

Menurut kisah dalam Mahabharata karya Vyasa, Rukmini jatuh hati pada Krishna iaitu dewa yang muncul untuk membantu Pandava dalam peperangan demi menuntut keadilan dan dharma (truth).

Sebagai dewa yang muncul di Bumi, Krishna digambarkan sebagai pemerintah kerajaan Dwaraka. Rukmini pula digambarkan sebagai inkarnasi Dewi Lakshmi, iaitu isteri kepada dewa berkenaan.

Konsep inkarnasi, kelahiran semula dan avatara sangat lumrah dalam teks klasik Hindu seperti purana.

Rukma berhajat mengahwinkan adiknya, Rukmini, dengan Raja Sisupala iaitu pemerintah kerajaan Chedi. Memandangkan Bhishmaka sudah berusia lanjut, baginda akur pada cadangan raja muda iaitu Rukma.

Sebaik mendapat tahu mengenai rancangan itu, Rukmini mula risau. Dia sedar bahawa dirinya tidak akan bahagia jika dipaksa berkahwin dengan Sisupala. Rukmini juga pasti tidak akan mampu membahagiakan Sisupala kerana hati dan cintanya sudah terpaut pada Krishna.

Maka, Rukmini menghantar pesanan menerusi orang suruhannya kepada Krishna. Dewa berkenaan membaca surat yang dititipkan dengan tenang.

“Datanglah membawa saya pergi sebelum saya dipaksa berkahwin dengan Sisupala. Perkahwinan kami dijadualkan pada esok. Pada sebelah pagi, saya akan ke kuil untuk bersembahyang. Datanglah membawa saya pergi dari sana. Jika tidak, saya akan membunuh diri.”

Krishna sedar bahawa Rukmini perlu diselamatkan segera sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku. Tambahan pula, Rukmini adalah avatara Lakshmi.

Tanpa membuang masa, Krishna menunggang kereta kuda secara bersendirian ke Kundinapura iaitu ibu kota Vidarbha. Kawasan itu dihias indah bagi meraikan majlis perkahwinan Sisupala dan Rukmini.

Rombongan pihak pengantin lelaki juga sudah berkumpul bagi majlis perkahwinan pada hari berkenaan. Ada pun Sisupala merupakan musuh kepada Krishna; sekali gus menjadikan konflik lebih kompleks.

Maka, sekiranya diperhatikan, kisah yang berlaku dalam Mahabharata amat serupa dengan kisah-kisah yang disajikan dalam begitu banyak filem Tamil dan Hindi. Usahlah kita persoalkan dari mana penulis skrip mendapat idea. Tidak mustahil kisah Krishna dan Rukmini menjadi sumber inspirasi!

Berbalik kepada cerita tadi, Balarama (salah seorang Pandava) menyedari Krishna sudah pergi sendirian ke Vidarbha. Balarama bimbang memikirkan kemungkinan Krishna terpaksa berdepan dengan serangan tentera Sisupala dan Rukma.

Balarama mengumpulkan tentera dan bergegas ke Kundinapura. Dia sedar bahawa nyawa Krishna amat berharga dan kehadirannya amat diperlukan sebagai mentor kepada Pandava lima bersaudara.

Sementara itu, Rukmini pergi ke kuil seperti dijadualkan. Sewaktu melangkah keluar dari rumah ibadat, dia ternampak kereta kuda yang dipandu Krishna. Maka, Rukmini segera meluru masuk ke dalam kereta kuda berkenaan dan Krishna pula menunggang laju meninggalkan tempat itu.

Sebaik sahaja berita mengenai kejadian itu sampai kepada Rukma, dia mengumpulkan bala tentera dan bergegas ke arah yang dituju oleh kereta kuda Krishna.

Walau bagaimanapun, Rukma terkejut kerana tentera yang dipimpin oleh Balarama sudah pun tiba untuk melindungi Krishna. Tentera kedua-dua pihak bertempur demi Rukmini.

Akhirnya, tentera Rukma tewas. Krishna membawa Rukmini pulang ke Dwaraka. Majlis perkahwinan mereka diadakan secara besar-besaran. Maka, Rukmini yang merupakan avatara Lakshmi berjaya bersatu semula dengan pasangannya.

 

*Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau seorang penulis sepenuh masa.