Berita

Pakatan baru untuk bentuk Kerajaan Malaysia?

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Untuk menyelamatkan Malaysia, mungkin masa telah tiba untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen dari parti kerajaan dan pembangkang yang mahu mempertahankan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dengan seorang Perdana Menteri baru.

Perkara tersebut diajukan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam majlis makan malam Ulangtahun DAP Bukit Bintang malam tadi.

Menurut Kit Siang, kemelut di kedua-dua pihak Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat yang semakin meruncing serta langkah untuk mengemukakan usul persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan oleh PAS akan menimbulkan krisis perlembagaan, khususnya jika UMNO menyokong enakmen berkenaan.

“Jika enakmen hudud kerajaan PAS Kelantan diluluskan menerusi dua usul persendirian di Parlimen dengan majoriti mudah, pelaksanaan undang-undang itu akan bertentangan dengan perlembagaan dan boleh dicapai di mahkamah kerana bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkenaan ‘Kesamarataan di sisi undang-undang’.

“Dalam senario politik baru sedemikian, di mana Najib mengumumkan sokongan UMNO terhadap enakmen hudud PAS, mungkin tiba masanya untuk membentuk pakatan ‘Selamatkan Malaysia’ yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen dari parti kerajaan dan pembangkang yang mahu mempertahankan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dengan seorang Perdana Menteri baru dan sebuah Kerajaan Malaysia yang baru,” ujar Kit Siang.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri baru boleh dilantik dari mana-mana parti politik kerajaan atau pembangkang yang ada sekarang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu bagaimana pun menegaskan bahawa pendirian tersebut adalah pendirian peribadi beliau dan bukan milik DAP.

Kemelut di pihak BN semakin memuncak apabila langkah-langkah utama kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti dasar 1Malaysia, Model Ekonomi Baru dan Program Transformasi Negara ternyata gagal.

Najib sendiri dihantui pelbagai masalah, termasuk skandal RM42 bilion 1MDB, misteri pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pemenjaraan Anwar Ibrahim buat kali keempat, kontroversi “harta warisan” Tun Razak serta serangan daripada mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Tidak cukup dengan itu, muncul pula skandal RM29 bilion Pembinaan PFI Sdn Bhd, pembelian jet baru untuk Perdana Menteri, serta perkahwinan mewah anak perempuan Najib.

Di pihak Pakatan Rakyat, kemelut meruncing apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang bertindak melanggar keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan dengan cuba mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk membolehkan pelaksanaan enakmen hudud Kelantan.

“Dengan mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi pelaksanaan hudud tanpa mempedulikan sama sekali keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat pada 8 Februari lalu bahawa sebarang rang undang-undang persendirian berkaitan hal itu perlu terlebih dahulu dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat, serta sebagai satu lagi pelanggaran setelah PAS Kelantan melanggar Kerangka Kerja Dasar Bersama Pakatan dengan mengemukakan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang kemudiannya diluluskan oleh DUN Kelantan, Pakatan seolah-olah tidak lagi wujud di mata Presiden PAS,” tegas Kit Siang. -Roketkini.com