Rencana

Perkara terselindung di sebalik kontroversi hudud

Pertama sekali izinkan saya tegaskan bahawa Muslim berhak mempercayai undang-undang hudud. Saya hormati hak itu seperti mana saya percaya golongan Muslim juga menghormati hak penganut agama-agama lain.

Bagaimanapun dalam kes enakmen hudud Kelantan yang terkait bukan cuma persoalan perundangan tetapi juga muslihat politik yang bertujuan melenyapkan golongan progresif dalam PAS dan juga memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Lebih buruk daripada itu, walaupun mungkin secara tidak sengaja, perbalahan dan kemarahan yang timbul daripada perbahasan hangat berkaitan hudud mampu memporak-perandakan negara.

Matlamat akhir puak yang merencanakan muslihat ini ialah untuk menghasilkan konflik “Muslim lawan bukan-Muslim”.

Pergolakan yang kita hadapi sekarang luar biasa. Maka keadaan yang terhasil kini memerlukan pemahaman yang teliti. Kita perlu mampu membaca perancangan besar yang dibuat dan mematahkan muslihat pihak terbabit.

Secara berterus-terang kita boleh sebutkan bahawa desakan ke arah hudud kini dirancang oleh UMNO dan para pemimpin pro-UMNO dalam PAS untuk menimbulkan ketegangan keagamaan. Untuk mematahkan perancangan mereka, kita perlu menyatu-padukan sebahagian besar Muslim dan bukan-Muslim dalam satu pendirian yang boleh diterima bersama.

Mengapa tergesa-gesa?

Langkah mengedepankan hudud kali ini pada asasnya bermula dengan cabaran Md Alwi Che Ahmad, ADUN UMNO bagi Kok Lanas (yang ‘menangis kegembiraan’ sewaktu pembentangan enakmen hudud di Kelantan baru-baru ini), dalam persidangan DUN pada Mac 2014, supaya enakmen hudud dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir memberitahu Parlimen pada 27 Mac 2014 bahawa UMNO akan menyokong usul persendirian di Parlimen jika ia dikemukakan oleh Ahli Parlimen.

Setelah beberapa pusingan mesyuarat “jawatankuasa teknikal bersama” di antara kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan, kerajaan negeri itu tergesa-gesa mengumumkan bahawa satu rang undang-undang akan dibentangkan dalam DUN Kelantan pada 29 Disember 2014, namun banjir besar di negeri itu menyebabkan rancangan mereka tertunda.

Enakmen hudud diluluskan pada 19 Mac 2015, namun ia tidak akan berakhir di situ. Keadaan akan menjadi lebih panas dalam beberapa bulan mendatang apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang membentangkan usul persendirian menjelang pemilihan PAS.

Rancangan hudud memenuhi kepentingan dua kelompok.

Pertama, para pemimpin pro-UMNO dalam PAS akan berpeluang meningkatkan citra keislaman mereka dalam menentang kelompok pro-Pakatan dalam pemilihan parti bulan Jun 2015 nanti.

Penting untuk diingati bahawa dari 1 Mac 2015 hingga 12 April 2015 berlangsung mesyuarat bahagian-bahagian PAS yang akan memilih perwakilan ke Muktamar pada bulan Jun nanti.

Perbahasan dan perhatian terhadap hudud dalam media memenuhi kepentingan kelompok pro-UMNO, maka mereka mampu memberitahu para pemimpin parti di peringkat akar-umbi bahawa lebih baik bekerjasama dengan UMNO yang “Islamik” daripada DAP yang “kafir”.

Memandangkan para pemimpin PAS yang pro-UMNO tidak yakin akan menang dalam pemilihan kali ini, kehancuran Pakatan sebelum Muktamar bulan Jun nanti akan menyebabkan musuh mereka dari kalangan pemimpin pro-Pakatan dalam PAS akan ‘hilang modal’ sebelum Muktamar.

Kedua, UMNO adalah pihak yang paling beruntung daripada keruntuhan Pakatan Rakyat. Daripada maklumat yang saya dapat kumpul, para juru strategi UMNO percaya bahawa pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemusnahan Pakatan Rakyat akan berada di kedudukan yang kukuh tanpa ada pencabar yang benar-benar berkemampuan. Kedudukan yang kukuh ini diperlukan terutama kerana beberapa faktor, antaranya GST yang akan dikuatkuasakan pada 1 April 2015, pendedahan skandal-skandal yang dikaitkan dengan Najib, pergelutan dalaman yang semakin sengit dalam UMNO dan keadaan ekonomi yang sedang merosot.

Jika diperhatikan cara berfikir kelompok pro-UMNO dalam PAS dan kelompok bergaris keras dalam UMNO, kecenderungan anti-demokrasi mereka cukup jelas. Bagi kedua-dua kelompok itu, dengan adanya pakatan “PAS-UMNO” tidak perlu lagi pilihanraya yang sebenar. bagi mereka, negara ini milik Melayu/Muslim dan demokrasi hanya menyusahkan.

Persoalan yang perlu direnung oleh rakyat Malaysia ialah sama ada kita masih boleh melihat PAS sebagai satu entiti tunggal yang sekata atau mengakui bahawa kelompok pro-UMNO sedang merancang untuk mendorong negara ini ke pinggir jurang dan juga menghapuskan pilihanraya.

Seperti pemilihan UMNO, pemilihan PAS kali ini memberi kesan terhadap politik negara dalam cara yang tidak pernah disaksikan sebelum ini dan dalam cara yang masih belum difahami. Pemilihan PAS perlu diberi perhatian oleh seluruh negara seperti mana pemilihan UMNO mendapat perhatian selama ini. Semua warga Malaysia perlu mengambil kira hal-hal ini sebelum memberi reaksi terhadap senario yang luar biasa seperti yang kita lihat sekarang.

Persoalannya sekarang bukan doktrin keagamaan tetapi kepentingan politik.

 

* Penulis adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP dan Ahli Parlimen Kluang.