Berita

DAP ikrar jaga kebajikan keluarga mangsa ‘13 OKZ’

AMPANG, 25 MAC: 13 ‘Orang Kena Zalim’ (13 OKZ) yang dihukum penjara berikutan protes terhadap rampasan kuasa di Perak tidak perlu bimbang tentang kebajikan ahli keluarga mereka.

Ini kerana DAP hari ini menyatakan ikrarnya untuk memastikan kebajikan anggota keluarga 13 individu tersebut terjaga sepanjang tempoh pemenjaraan mereka.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham hari ini berkunjung ke rumah isteri kepada salah seorang 13 tahanan tersebut bagi menyampaikan sumbangan hasil potongan gaji ADUN DAP Perak berjumlah RM18,000.

Sumbangan tersebut dikumpulkan daripada enam ahli Parlimen dan 18 Ahli Dewan Undangan Negeri Perak.

Kedua-dua pemimpin DAP tersebut yang ditemani ADUN Canning Wong Kah Woh mengambil masa meninggalkan sidang Parlimen bagi menyerahkan sendiri cek sumbangan kepada keluarga dua daripada mangsa tahanan yang menetap di Kuala Lumpur.

Manakala selebihnya yang menetap di luar ibu kota akan turut menerima sumbangan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya minggu lalu mendapati 13 individu terbabit bersalah kerana terlibat dalam perhimpunan menghalang upacara angkat sumpah jawatan Menteri Besar oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hukuman 10 bulan tersebut diringankan daripada hukuman 2 tahun penjara yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengekalkan keputusan mengenakan denda RM5,000 setiap seorang.

13 individu mangsa kezaliman tersebut adalah Bad Latif Mansor, 49, Suhana Abdullah, 50, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40, Mohd Faiz Mohd Arshad, 28, Zulhaizam Zulkifli, 31, Isha Riduan Ishak, 60, Adi Hilme Mohd Nasir, 45, Yusuf Jaafar, 50, Mohamad Nazeer Hameed, 49, Idris Mohd Thaib 49, Khairul Azmi Hassan Basri, 50, Mohd Hasri Ismail, 49, and Mohamed Ismail S. M. Abdul Kadir, 49. – Roketkini.com