Berita

Penduduk Sandakan dinafi hak rawatan radioterapi dan onkologi

KUALA LUMPUR, 25 MAC: DAP hari ini menyelar tindakan kerajaan yang menafikan hak penduduk Sandakan untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya dinikmati oleh setiap warga.

Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt berkata, jawapan Kementerian Kesihatan bahawa mereka tidak merancang untuk menubuhkan pusat khidmat rawatan radioterapi dan onkologi di Hospital Sandakan tidak munasabah sama sekali.

“Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahya mendakwa berdasarkan bilangan pesakit di Sabah, perkara ini adalah ‘tidak serius’.

“Jadi semua kemudahan rawatan berkaitan ditempatkan di Kota Kinabalu sahaja.

“Jawapan kementerian ini bukan saja mengecewakan saya tapi seluruh rakyat Sabah terutamanya di bahagian pantai timur negeri ini (Sandakan) kerana hak mendapatkan rawatan sepatutnya dinikmati setiap warga.

“Kerajaan tidak boleh bersikap berat sebelah dan prejudis antara bahagian Timur dan Barat Sabah, begitu juga dengan pedalaman mahupun bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Hilmi menerusi jawapan Parlimen kepada pertanyaan Stephen menyatakan, 4,000 penderita kanser di Malaysia adalah dari Sabah dan tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan antara tiga hingga lapan minggu.

Manakala semua perkhidmatan rawatan radioterapi dan nuklear hanya tertumpu di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Pakar Likas.

“Mungkin kerajaan sendiri tidak tahu kesukaran dihadapi pesakit kanser yang terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan di Kota Kinabalu, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di pedalaman Sabah.

“Mereka terpaksa menunggu beberapa minggu untuk mendapatkan rawatan.

“Tambah menyedihkan, pesakit yang datang dari kawasan luar bandar biasanya dibelenggu kemiskinan, kekurangan pengangkutan awam dan tiada penginapan di Kota Kinabalu,” ujar Stephen.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes pnghidap kanser di Malaysia meningkat dari 32,000 pada tahun 2008 kepada 37,000 pada 2012. – Roketkini.com