Berita

DAP mohon kerajaan selaraskan pelaksanaan undang-undang jalanraya

KULAI, 26 MAC: DAP hari ini memohon kerajaan agar menyelaraskan pelaksanaan undang-undang pengangkutan jalanraya agar ia tidak lagi dijadikan alasan untuk mengutip wang rakyat bagi menampung hutang negara.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, penyelarasan itu haruslah meliputi kesemua kesalahan dan tidak hanya tertakluk kepada kesalahan nombor pendaftaran kenderaan.

“Sebagai contoh, perkara ini dapat dilihat dengan tindakan yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan Jalan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang begitu tergesa-gesa dan tidak konsisten dalam melaksanakan undang-undang kesalahan nombor pendaftaran di Malaysia.

“Sudah 56 tahun undang-undang sama digunapakai namun sehingga kini masalah ini tetap berlaku.

“Ini bermakna undang-undang ini perlu dikaji semula dan bukannya dibangkitkan atau diguna-pakai mengikut musim sahaja,” kata dalam satu kenyataan, semalam.

Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata demikian merujuk kepada jawapan yang diberikan Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai dalam sidang Parlimen bahawa 12,161 jumlah saman telah dikeluarkan bagi kesalahan nombor pendaftaran.

Liow turut mendakwa, sebanyak RM810,300.00 jumlah kutipan saman telah diperoleh walaupun ia tidak meliputi kesalahan-kesalahan lain seperti gagal memakai tali pinggang keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, cermin gelap dan sebagainya.

Menurut Nie Ching, hutang negara pada suku ketiga tahun telah mencecah sebanyak RM740.O dan jumlah terkini pula menghampiri RM582 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Pada asasnya hutang negara sudah tentu akan menjadi hutang rakyat. Semakin tinggi hutang negara, maknanya semakin terbebanlah rakyat di masa akan datang untuk menanggungnya.

“Sebab itu, saya berharap pelaksanaan undang-undang pengangkutan jalan raya bagi kesalahan nombor pendaftaran kenderaan dan kesalahan lain dapat diselaraskan supaya ia tidak lagi dijadikan sebab bagi mengutip wang rakyat untuk menampung hutang negara,” tegasnya. -Roketkini.com