Berita

Elak jawab skandal, lakonan Menteri Kewangan layak untuk ‘Oscar’

PETALING JAYA, 26 MAC: Ekoran ditanya bertubi-tubi oleh ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat mengenai skandal 1MDB, Menteri Kewangan II Ahmad Husni Hanadzalah akhirnya terpaksa berlakon untuk mengelak dari soalan.

Menteri itu dilihat berlakon dengan membelek dan mengacu-acukan buku Undang-undang Mesyuarat Dewan sambil meminta pandangan Timbalan Speaker Dewan untuk tidak menjawab soalan daripada ahli parlimen ketika ucapan penggulungan menteri itu.

Timbalan Speaker Dewan kemudian menyatakan Menteri tidak perlu menjawab soalan yang dikemukakan.

Tindakan berpura-pura Menteri Kewangan itu disifatkan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua sebagai satu lakonan terbaik yang layak menerima Oscar.

“Husni Hanadzlah memang layak terima anugerah Oscar.

“Ini kerana di dalam buku Undang-undang Mesyuarat tidak ada fasal dalam Perintah Tetap yang melarang seorang menteri daripada menjawab balas terhadap soalan mengenai kes yang sedang disiasat baik oleh Ketua Audit Negara mahupun polis,”ujar Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Kementerian Kewangan yang diketuai Perdana Menteri Najib Tun Razak telah menerima kecaman hebat apabila anak-anak syarikat di bawah naungan kementerian itu terlibat dengan skandal demi skandal. 1MDB, PFI, SRC adalah syarikat bermasalah yang aktif dibongkar oleh ahli parlimen pembangkang.

Tony menambah soalan-soalan pembangkang kepada Kementerian Kewangan hanyalah mengenai adakah 1MDB telah pindahkan USD 700 juta ke Bank Switzerland di atas akaun Good Star Limited yang dikuasai taikun Jho Low, namun menteri lebih suka mengelak dan meletakkan tanggungjawab menjawab soalan hanya kepada Ketua Audit Negara dan polis.

“Hakikatnya skandal besar yang telah menarik penelitian antarabangsa langsung tidak mendapat perhatian yang baik di Parlimen menunjukkan kerajaan BN sama sekali tidak serius mengenai rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Keengganan menteri menjawab soalan-soalan penting ini membuktikan tanpa ragu-ragu lagi bahawa kerajaan sedang cuba untuk menutup skandal itu dan cuba menyelamatkan sebuah kejatuhan (1MDB),” tegas Tony.-Roketkini.com