Berita

DAP kutuk Ketua Polis Negara arah siasat pensyarah UM kerana kritik polis

SERDANG, 27 MAC: DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan terbaru pihak polis yang cuba menghalang kebebasan akademik dengan menyiasat seorang pensyarah UM Dr Khoo Ying Hooi gara-gara sebuah artikel.

Hooi seorang penulis kolum di portal Malaysian Insider telah membangkitkan persoalan terhadap tindakan pihak polis yang galak menangkap pimpinan masyarakat dan aktivis dalam artikel “Who owns the police?”.

Artikel itu mempersoalkan sama ada pihak polis dimiliki oleh elit berkuasa atau sepatutnya berkhidmat untuk rakyat.

Ekoran itu, Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming hari ini mempersoalkan tindakan polis terhadap Hooi di samping mengutuk taktik Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menggunakan twitter bagi mengekang suara ahli akademik.

“Saya mengutuk taktik polis diketuai penggila twitter Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang membuat rujukan kepada komen Dr Khoo terhadap himpunan ‪#‎KitaLawan‬ dalam status twitnya pada 15 Mac lalu.

“Kolum Dr Khoo itu membangkitkan banyak persoalan sahih mengenai tindakan pihak polis di Malaysia dalam menangani protes rakyat.

“(Saya fikir) untuk menyiasat dan mungkin mendakwa beliau di bawah kod jenayah adalah satu penghinaan dan serangan ke atas kebebasan akademik di Malaysia,” tegas Kian Ming.

Justeru itu, Kian Ming mendesak Khalid untuk menghentikan sebarang ugutan terhadap ahli akademik yang menyuarakan pandangan mereka berdasarkan pemerhatian dan kesarjanaan.

“Saya seru pihak KPN untuk segera menghentikan apa-apa taktik ugutan terhadap kajian dan dan pemerhatian akademik,” tegas Kian Ming.-Roketkini.com