Berita

Penguasaan Bahasa Inggeris terbaik di Asia? Cakap kosong Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Jika benar penguasaan Bahasa Inggeris di Malaysia lebih baik berbanding Singapura, mengapa kerajaan menghabiskan jutaan ringgit untuk memulihkannya? soal Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari.

Zairil berkata, dakwaan Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan itu sama sekali mengarut, walhal kerajaan sendiri menyedari bahawa standard bahasa Inggeris di Malaysia semakin jauh merosot.

Menurutnya, ia dapat dibuktikan melalui beberapa siri inisiatif yang menelan perbelanjaan tinggi seperti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Program Penutur Jati Bahasa Inggeris (PPJBI) dan Program Peningkatan Profisiensi Guru Bahasa Inggeris (Pro-ELT).

“Semua program ini telah menelan belanja lebih daripada RM1 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisti DAP menyatakan, sebagai contoh, PPJBI telah menyaksikan Kementerian Pendirikan membelanjakan sebanyak RM270 juta bagi mengupah 360 penutur asli Bahasa Inggeris untuk melatih guru sekolah rendah tempatan bagi matapelajaran itu.

Jelasnya, walaupun keputusan selepas tiga tahun pelaksanaannya dipersoalkan, seperti prestasi teruk dalam matapelajaran Bahasa Inggeris UPSR, namun program tersebut telah diperbaharui dengan suntikan kos sebanyak RM184.4 juta untuk tempoh dua tahun lagi dari 1 Oktober 2013 hingga 30 September 2015.

“Kementerian juga membelanjakan lebih daripada RM200 juta setiap tahun untuk MBMMBI sejak ia dilancarkan pada tahun 2010.

“Jika penguasaan Bahasa Inggeris di Malaysia sememangnya terbaik di Asia, mengapa semua fakta ini termasuk tindakan kerajaan sendiri mengatakan sebaliknya?

“Ada baiknya Menteri Pendirikan menumpukan perhatian untuk meningkatkan mutu pendidikan negara daripada terus berbangga kosong berdasarkan sumber-sumber yang boleh dipersoalkan,” tegas beliau.

Kamalanathan semalam telah mendakwa penguasaan Bahasa Inggeris negara ini lebih baik daripada Singapura.

Malah, tambahnya, Malaysia berada di tangga teratas dalam penguasaan bahasa itu di Asia dalam kajian terhadap 65 negara yang bahasa ibunda mereka bukan bahasa Inggeris.

Beliau merujuk Indeks Kepetahan Berbahasa Inggeris yang dijalankan oleh EF Education First, sebuah laman web kajian di Sweden yang meneliti penggunaan bahasa itu di kalangan ahli perniagaan.

Tegas Zairil, walaupun kerajaan terdesak untuk menunjukkan hasil positif, tapi mereka tidak harus menggunakan kajian yang boleh dipersoalkan.

“Kajian tersebut sebenarnya dikumpulkan melalui ujian Bahasa Inggeris yang boleh didapati secara percuma dalam Internet yang diambil oleh peserta atas pilihan sendiri dan tidak mewakili keadaan sebenar setiap negara.

“Dalam kajian EF, individu tidak dipilih secara rawak dan jelas kajian sebegini tidak boleh dianggap saintifik atau penilaian statistik yang sah,” kata Zairil. -Roketkini.com