Berita

Wanita DAP sambut idea gabungan kerajaan baru “Selamatkan Malaysia”

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Seruan peribadi Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang ke arah pembentukan gabungan “Selamatkan Malaysia” untuk membentuk kerajaan baru hari ini disambut oleh Wanita DAP.

Setiausaha Wanita DAP Teo Nie Ching dalam kenyataannya hari ini menyatakan Wanita DAP juga teruja melihat nama-nama wanita yang dicadangkan Kit Siang sebagai Perdana Menteri.

“Terdapat 4 Ahli Parlimen wanita dicadangkan, iaitu Menteri Undang-undang Nancy Shukri, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin, Datuk Rohani Abdul Karim dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar,” ujar Nie Ching.

Nie Ching menambah pada masa ini terdapat 22 orang wanita pernah jadi kepala kerajaan di seluruh dunia, antaranya di Indonesia, Thailand, Filipina.

Namun, menurutnya, di Malaysia peluang itu agak kabur.

“Negara-negara jiran sudah banyak menyaksikan wanita mengetuai negara sama ada sebagai Presiden atau Perdana Menteri.

“Namun, peluang Malaysia melihat wanita sebagai PM tipis kerana hanya 10% sahaja ahli parlimen adalah wanita di Malaysia.

“Wanita DAP menyokong idea PM wanita untuk sebuah Malaysia baru. Jika gabungan baru “Selamatkan Malaysia” terbentuk, calon PM mestilah seorang yang peka isu gender dan berjanji akan terus memperkasa wanita di Malaysia,” tegas Nie Ching.-Roketkini.com