Berita

DAPSY saran Puad Zarkashi insafi kekalahan di Batu Pahat

KLUANG, 1 APRIL: Pemuda DAP (DAPSY) hari ini menyelar tindakan Mohd Puad Zarkashi yang jelas menyalahguna kuasa agensi awam untuk menjadi Jabatan Propaganda UMNO-BN apabila mengeluarkan kenyataan perkauman menyerang DAP dan masyarakat Cina.

Setiausaha DAPSY Tan Hong Pin berkata, Puad sebagai Ketua Pengarah baru JASA seharusnya lebih memikirkan permasalahan rakyat dan bukannya bertindakak mengapikan sentimen perkauman.

“Saya menasihatkan Puad supaya mengkaji semula sebab-sebab beliau telah ditolak pengundi Batu Pahat, bukannya mempermainkan isu-isu perkauman dan agama di media untuk meraih sokongan.

“Malaysia berhadapan pelbagai isu yang kritikal dan perlu ditangani segera contohnya kemelesetan ekonomi, peningkatan kadar jenayah dan sebagainya.

“Perjuangan politik seharusnya berasaskan isu dihadapi rakyat, bukan hanya tahu mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama seperti yang dimainkan oleh UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Selepas dua tahun tewas di Parlimen Batu Pahat, Puad akhirnya dilantik oleh kerajaan sebagai Ketua Pengarah Jasa awal Mac lalu.

Puad dalam wawancaranya bersama akhbar Utusan pada 29 Mac lalu telah menyerang DAP dengan menyatakan beliau akan memastikan DAP ‘ini kali mati’ pada Pilihanraya Umum ke-14 akan datang.

Tan yang juga Adun Mengkibol mempersoal kewujudan JASA yang dilihat tidak lagi berfungsi untuk memelihara dan mempertahankan kestabilan politik namun dilihat telah menjadi agensi UMNO-BN untuk memburukkan Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, sebagai contoh, tahun lalu, JASA di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempunyai seramai 1,046 kakitangan dengan perbelanjaan mencecah sehingga RM74 juta bagi tujuan propaganda UMNO-BN.

“Sama seperti Cawangan Khas Polis yang muncul di tapak aktiviti ahli politik DAP untuk membuat risikan, aktiviti JASA telah menelan perbelanjaan besar dan fungsinya tidak pun menjadi keperluan segera oleh rakyat.

“Sumber-sumber tersebut sepatutnya boleh dimanfaatkan bagi kegunaan yang lebih utama seperti pembangunan industri perusahaan dan peningkatan kemahiran pekerja,” tegasnya. – Roketkini.com