Berita

Hudud: “Politik siapa lebih jantan” – Chin Tong

PETALING JAYA, 1 APR – Polemik hudud yang muncul kembali setelah diumpan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom kini membawa negara kembali ke lanskap politik 2001, dan politik ‘siapa lebih jantan’ antara semua parti-parti politik.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong ketika berucap di forum ‘Pro-Kontra Hudud Kelantan’ semalam berkata, keadaan yang sama telah berlaku pada tahun 2001 sehingga menyebabkan DAP keluar daripada Barisan Alternatif, dan Tun Dr Mahathir berjaya mematikan polemik negara Islam pada waktu itu.

“Dengan isu perkauman dan isu negara Islam, pembangkang dihancurkan pada waktu itu. Tidak ada alternatif,”

“Terasa betul bagai tahun 2001. (Kini) kita ada isu hudud, dan ada percubaan untuk memecahkan Pakatan Rakyat. Surat khabar Cina bertanya kenapa DAP tidak keluar Pakatan, Utusan pula tanya PAS kenapa tak keluar. Ini polemik siapa lebih jantan,” ujar Pengarah Pendidikan Politik DAP tersebut.

Beliau menyarankan orang ramai mengimbas kembali sejarah politik negara dan konteks politik masa kini bagi membina serta memperkukuh sebuah gagasan politik yang menentang Umno dengan idea-idea baru.

SUFI7821Ambil kira harapan semua, terutamanya di Sabah dan Sarawak

“Idea-idea ini perlu menyatukan semua parti-parti pembangkang supaya kita jadi kerajaan dengan idea baru yang mengambil jalan pertengahan yang boleh memenangi hati semua kaum, bukan satu kumpulan sahaja,” tegas Chin Tong dalam forum anjuran Malaysiakini itu.

Kata beliau lagi, idea-idea baru ini bukan sekadar perlu memenangi hati semua kaum di Semenanjung Malaysia, tetapi juga mengambil kira harapan mereka yang berada di Sabah dan Sarawak.

Sepanjang minggu lalu Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang telah cuba menggagaskan idea yang melangkau kepentingan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, demi menyelamatkan Malaysia dengan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Ini ekoran kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyatakan pendiriannya berkenaan pelaksanaan undang-undang hudud, serta tindakan unilateral PAS Kelantan yang bercanggah dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat apabila meluluskan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan serta mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi membolehkah pelaksanaan undang-undang terbabit.

Lanjutan daripada tindakan PAS itu, DAP Sarawak telah membuat keputusan untuk meninggalkan Pakatan Rakyat Sarawak, manakala kedua-dua DAP dan PKR di Sabah telah turut membuat keputusan untuk berpisah dengan PAS.

Sehingga hari ini Najib Razak masih gagal menyatakan pendirian Kerajaan Persekutuan berkaitan undang-undang hudud. – Roketkini.com