Berita

Tindakan terhadap TMI untuk tutup skandal 1MDB? – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 1 APR – Tindakan terhadap penerbit The Edge dan pengarang-pengarang The Malaysian Insider (TMI) dikhuatiri bertujuan untuk cuba menutup mulut media daripada mendedahkan skandal besar kerajaan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dalam kenyataannya hari ini mendakwa tangkapan terhadap mereka berikutan laporan bertarikh 25 Mac turut menimbulkan persoalan kenapa portal berita itu sahaja menjadi sasaran.

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan tersebut menunjukkan pihak polis sedang dipergunakan untuk mengganggu dan menakutkan wartawan dan agensi berita daripada mendedahkan semua salah guna kuasa dalam negara.

β€œIni seperti sebuah balas dendam terhadap The Edge Media Group,” ujarnya.

“Unit media yang dimiliki The Edge Media Groups itu tidak henti-henti mendedahkan dan menyiasat semua salahguna kuasa yang melampau dan skandal kewangan kerajaan.

“Mereka telah memainkan peranan penting dalam mencantumkan semua fakta bagaimana 1MDB dapat mengumpul hutang RM 42 bilion dalam masa 5 tahun serta menunjukkan bagaimana anak syarikat milik Kementerian Kewangan itu tidak mampu membayar hutang-hutangnya,” jelas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Kata beliau lagi sepatutnya pihak polis tidak memerlukan lebih daripada dua jam untuk mengambil kenyataan mereka, apatah lagi sehingga perlu ditahan reman.

Lima wartawan TMI dan The Edge Weekly Business yang dimiliki The Edge Media Groups telah ditahan oleh pihak polis sejak Isnin. Tiga daripadanya Amin Iskandar, Zulkifli Sulong dan Lionel Morais telah dibebaskan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif TMI Jahabar Sadiq dan penerbit The Edge, Ho Kay Tat pula telah dibebaskan hari ni setelah pihak polis enggan membuat permohonan reman. – Roketkini.com