Berita

DAP cadang Tun Mahathir, Tun Abdullah sertai misi singkap pembunuhan Altantuya

GELANG PATAH, 2 APRIL: Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir yang mempersoalkan misteri pembunuhan model Mongolia Altantuya Sharibuu dicadangkan menyertai misi bagi menyelesaikan motif pembunuhan oleh dua komando polis Sirul Azhar dan Azilah Hadri.

Menyambut baik pertanyaan Mahathir hari ini Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, kerajaan gagal menyelesaikan kes tersebut dan harus dipersalahkan kerana mengabaikan perkara utama, iaitu motif pembunuhan.

“Badan kehakiman, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara bersalah kerana gagal menjalankan tugas apabila mengabaikan ‘si gajah depan mata’ kes pembunuhan Altantuya.

“Mereka sepatutnya tahu Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar tidak mungkin membunuh wanita Mongolia yang tidak mereka kenali itu tanpa sebarang motif dan tanpa didalangi sesiapa,” tegas Kit Siang.

Kit Siang menambah,,ekoran misteri tidak berkesudahan itu mengundang persoalan Tun Mahathir kerana pembunuhan tersebut menyebabkan reputasi Malaysia jatuh di mata dunia.

Lebih parah, apabila Perdana Menteri Najib Tun Razak bersikap acuh tidak acuh dan menyifatkan dakwaan Sirul menerima arahan dalam kes pembunuhan Altantuya sebagai perkara ‘merepek’.

“Mahathir bertindak tepat mempersoalkan ketidakadilan dalam kes pembunuhan Altantuya apabila dia berkata ‘selain hanya Najib berkata Sirul merepek, siasatan tidak juga dijalankan’.

“Tun juga berkata, ini melibatkan nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan,” jelas Kit Siang.

Kit Siang menyambut baik persoalan dibangkitkan Tun Mahathir kerana menurutnya penolakan Najib ke atas dakwaan Sirul adalah terburu-buru dan melulu.

“Ini mengundang persoalan bagaimana Najib tahu (bahawa) tidak wujud arahan sedemikian kepada Sirul dan Azilah.

“Najib dakwa beliau tidak keluarkan arahan sedemikian, bagaimana pula beliau begitu yakin bahawa arahan sedemikian tidak dikeluarkan oleh orang lain? soal Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, reputasi dan nama baik negara menuntut agar motif dan dalang pembunuhan didedahkan, dan hanya dua orang yang layak menyeelesaikan persoalan motif pembunuhan Altantuya.

“Saya cadang negara hantar dua bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir dan Tun Abdullah sertai misi nasional ke Australia untuk bertanya kepada Sirul, siapa yang beri arahan untuk bunuh Altantuya Sharibuu dan melaporkan kepada Parlimen tentang penemuan mereka, termasuk apa patut dilakukan terhadap Sirul dan Azilah,” ujarnya lagi. – Roketkini.com