Berita

DAP gesa kerajaan kecualikan penerbangan domestik dari GST

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Tindakan kerajaan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap penerbangan domestik akan memberi kesan kepada industri pelancongan tempatan, kata Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt.

Berdasarkan rujukan dari Garis Panduan Industri Pelancongan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, penerbangan domestik dikenakan cukai GST sebanyak enam peratus.

“Disebabkan GST dikenakan kepada penerbangan domestik, nampaknya adalah lebih baik untuk melancong ke luar negara.

“Suka atau tidak, ia akan memberi kesan terhadap sektor pelancongan tempatan.

“Saya menggesa kerajaan mempertimbangkan semula perkara ini dan mengecualikan GST terhadap penerbangan domestik untuk menggalakkan industri pelancongan tempatan dan merangsang pasaran tempatan, lebih-lebih lagi antara Malaysia Timur dan Barat,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah itu turut berkata bahawa beliau tidak faham, keliru dan kecewa mengapa perkara seperti ini boleh berlaku.

“Implementasi GST terhadap penerbangan domestik memberi kesan terhadap pasaran domestik seperti sektor pelancongan yang menjadi antara industri utama di Sabah.

“Sehingga saat ini, sektor pelancongan mencatatkan lebih 15 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan merupakan sektor tertinggi ketiga menyumbang kepada pendapatan Sabah,” ujarnya.

Tambah Stephen, rakyat Sabah serta Sarawak sama ada dari kalangan pekerja, pelajar mahupun pelancong tempatan terpaksa membayar cukai untuk tiba atau pulang ke destinasi.

Manakala, kenaikan itu membebankan rakyat Sabah dan Sarawak yang sering berulang-alik berurusan di Kuala Lumpur, sama ada belajar, bekerja atau berniaga.

“Mereka mungkin tidak ada pilihan dan terpaksa pergi ke Kuala Lumpur misalnya untuk menghadiri mesyuarat, pameran, konvensyen dan sebagainya.

“Individu yang lebih terbeban akibat kenaikan ini ialah yang menetap di Sandakan dan Tawau, kerana mereka sering berulang alik ke Kota Kinabalu bagi urusan keluarga, mesyuarat ataupun perniagaan,” katanya. – Roketkini.com