Berita

Penstrukturan semula 1MDB kucar kacir, siapa pengurusnya?

KUALA LUMPUR, 2 APR – Keputusan terbaru Kementerian Kewangan membatalkan pelantikan CIMB yang sebelum ini telah dipilih untuk mencari pelabur strategik bagi menjual anak syarikat 1MDB, Edra Global Energy Bhd menimbulkan tanda tanya, siapa yang sebenarnya mengurus penstrukturan semula 1MDB.

“Apa yang sedang berlaku kepada Kementerian Kewangan dan pengurusan 1MDB? Siapa sebenarnya mengetuai penstrukturan semula secara keseluruhan?” soal Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam satu kenyataan.

“Adakah ia pasukan yang baru diumumkan, yang terdiri daripada Menteri Kewangan II Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah?

“Atau adakah ia Presiden dan CEO baru 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bersama-sama lambaga pengarahnya yang dipengerusikan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin?

“Atau adakah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dauk Seri Najib Razak yang memberikan arahan?” soal beliau sambil turut tidak menolak kebarangkalian wujudnya campurtangan jutawan Jho Low di belakang tabir.

Bagi Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP tersebut, tiadanya hala tuju dan pengurusan jelas untuk menyelamatkan 1MDB daripada masalah kewangan menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia dan 1MDB terus menjadi bahan jenaka antarabangsa.

26 Mac lalu CIMB dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa ia telah dipilih oleh pihak Kementerian untuk mencari pelabur yang berminat untuk membeli anak syarikat 1MDB, Edra Global Energy Bhd.

Ini bertentangan dengan perancangan awal untuk mengadakan tawaran awam awal (IPO) bagi mendapatkan dana bagi Edra Global Energy.

Pengumuman CIMB tersebut dikeluarkan sehari selepas Husni memberitahu Parlimen bahawa CIMB sebenarnya dilantik untuk membuat penilaian sebagai pihak ketiga sebelum IPO dijalankan yang ternyata berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh CIMB.

Semalam syarikat perbankan itu mengumumkan pula bahawa pihak Kementerian telah membuat keputusan untuk tidak menjual anak syarikat 1MDB terbabit kepada palbur strategik justeru membatalkan perkhidmatan CIMB sebagai penasihat jualan. – Roketkini.com