Sastera

Bubur Mat Jambu

Gambar hiasan

[Cereka mengenai bubur yang dijadikan aset untuk kekal berkuasa.]

Akhirnya dia dikenakan tindakan kerana mencabuli bubur milik orang. Tauke Jib tersenyum bangga kerana berjaya melaksanakan apa yang gagal dilakukan oleh Encik Kutty.

Semuanya bermula daripada perebutan kuasa sebagai pemilik atau waris Gerai Bijan yang mendapat mandat penduduk untuk membekalkan bubur.

Hasil yang diperoleh daripada perniagaan itu memang lumayan. Cukup untuk menyara tujuh keturunan, walaupun selepas bersara.

Apabila tiba giliran Irwan untuk mengambil alih tugas menguruskan Gerai Bijan, muncul pula konspirasi untuk menjatuhkannya.

Memandangkan bidang kerja gerai berkenaan sejak dahulu hanyalah berkaitan dengan bubur, maka disebarkan khabar bahawa Irwan telah merosakkan bubur.

“Dia suka menjolokkan jarinya ke dalam bubur orang. Kita tidak boleh menerima orang seperti itu dalam pengurusan Gerai Bijan,” Encik Kutty memulakan kempen dalam usaha memastikan segala salah lakunya dalam pengurusan gerai tidak terbongkar sebaik Irwan mengambil alih perniagaan dan melakukan audit terperinci.

Pengurusan Gerai Bijan diserahkan kepada Che Lah sementara Irwan disingkirkan dari senarai lembaga pengelola. Dalam masa beberapa bulan sahaja, senduk berpindah ke tangan Tauke Jib apabila Encik Kutty mula bising dan mengkritik gaya pengurusan Che Lah yang dikatakannya lembik.

Pada waktu itu, Irwan sudah memulakan gerai sendiri yang mampu memberikan saingan hebat kepada Gerai Bijan. Ramai yang mengharapkan gerai milik Irwan mampu mengambil alih kontrak membekalkan bubur sebaik kontrak sedia ada tamat.

Setiap kontrak membekalkan bubur kepada penduduk Siru Kambam tempohnya lima bulan. Pada kali terakhir, walaupun disangka kontrak akan ditamatkan, Tauke Jib tetap berjaya.

Tauke Jib sedar bahawa mandat yang diberikan kepada gerai di bawah pengurusannya mungkin tidak mampu terus bertahan lama. Pesaing utama ialah Irwan yang pernah dituduh memasukkan jari ke dalam bubur orang sehingga menjadi basi.

“Bubur saya juga menjadi mangsa kerakusan Irwan,” kata Mat Jambu yang mengatur pertemuan dengan Tauke Jib pada suatu hari.

Mat Jambu Tampil Membantu Tauke Jib

Tauke Jib terus teruja. Dia dapat membayangkan bahawa modus operandi yang pernah digunakan oleh Encik Kutty mungkin masih sesuai diguna pakai untuk menjatuhkan Irwan sekali lagi.

Perbuatan mencemari bubur orang bukan perkara kecil. Rata-rata penduduk Siru Kambam tidak akan memaafkan sesiapa yang melakukannya. Sedangkan perbuatan memasukkan jari ke dalam bubur sendiri dipandang jijik, inikan pula memasukkan jari ke dalam bubur orang secara paksa.

“Awak ada bawa bahan bukti?” Tauke Jib mahu mendapatkan kepastian.

“Saya sudah buang. Tapi kalau tuan mahu, saya boleh pergi semula bertemu Irwan dan datang dengan bukti terbaharu untuk menunjukkan dia telah memasukkan jari ke dalam bubur saya,” Mat Jambu bersuara lembut.

“Awak tidak takut untuk berdepan dengannya selepas apa yang berlaku? Awak tidak trauma?” Tauke Jib bertanya dengan sedikit hairan.

“Saya masih bekerja di gerai milik Irwan. Hari-hari dia mengajak saya makan bubur bersama-samanya. Jadi, tak jadi masalah untuk saya tampil dengan bukti yang segar untuk menjatuhkannya.”

“Maknanya, Irwan memang kerap memasukkan jarinya ke dalam bubur awak dan awak pula merelakan?” Tauke Jib bertambah hairan.

“Itu bukan persoalannya, tuan. Apa yang tuan perlukan adalah bahan bukti bahawa Irwan masih meneruskan perangai memasukkan jari ke dalam bubur orang. Saya akan sediakan bukti itu. Tak perlulah banyak soal.”

Seperti yang dijanjikan, beberapa hari kemudian, Mat Jambu bertemu Tauke Jib. Dia membawa semangkuk bubur. Ternyata bubur itu sudah basi.

“Ini sudah cukup untuk memerangkap Irwan! Awak mesti pertahankan pendirian bahawa dialah yang memasukkan jari ke dalam bubur awak secara paksa sehingga ia menjadi rosak,” kata Tauke Jib.

Memandangkan Gerai Bijan yang diterajui Tauke Jib masih memiliki kontrak membekalkan bubur ke seluruh Siru Kambam, kenyataan daripada peniaga itu mendapat perhatian ramai. Kuasa yang ada pada dirinya turut digunakan untuk mempermudahkan urusan Mat Jambu membuat aduan rasmi kepada pihak berwajib.

Kebusukan Bubur Dijadikan Aset Politik

Dipendekkan cerita, Irwan dikenakan denda maksimum kerana didapati bersalah mencabuli dan merosakkan bubur orang.

Ramai yang mempersoalkan hujah dan bukti yang dikemukakan Mat Jambu. Misalnya, kalaulah benar Irwan pernah merosakkan buburnya, mengapa dia membenarkan Irwan terus memasukkan jari ke dalam buburnya berulang kali.

“Saya tidak boleh percaya Irwan melakukan perkara terkutuk itu. Kalau benar sekalipun, bukankah Mat Jambu ternyata merelakan perbuatan itu berlaku banyak kali? Kenapa pula dia dilihat sebagai mangsa, dibebaskan dan diangkat sebagai wira oleh Tauke Jib?”

Demikian antara suara yang kedengaran dalam kalangan penduduk Siru Kambam. Sebahagian lagi memilih untuk membisu kerana takut ditahan atas alasan mempersoalkan keputusan pihak berkuasa. Tambahan pula, ketua panchayat sangat aktif di Twitter.

Selepas Irwan didenda, dia tidak boleh mengusahakan gerainya selama lima bulan. Pada pandangan dan harapan Tauke Jib, biarlah tempoh lima bulan itu mematikan terus semangat Irwan untuk kembali menguruskan perniagaan di gerainya.

Sementara itu, Mat Jambu yang sebelum ini mempamerkan wajah sedih seorang mangsa, kini sudah semakin menjadi rebutan. Dia sering dilihat mengunjungi Tauke Jib untuk berbual tentang keenakan bubur. Rakan-rakan Tauke Jib juga mengajaknya untuk bertemu dan menikmati bubur.

Mat Jambu turut dijadikan duta Gerai Bijan dan dibawa menjaja buburnya ke seluruh kampung. Ramai juga yang berkerumun kerana ingin melihat tuan punya bubur yang berjaya menjatuhkan Irwan.

“Busuknya!” kata seorang kanak-kanak seraya menutup hidung.

Kebusukan bubur itulah yang menjadi aset kepada Tauke Jib. Atas sebab itulah juga pada setiap hari, ada sahaja wakil yang diminta memasukkan jari ke dalam bubur Mat Jambu. Atau Mat Jambu diminta melakukannya sendiri. Langkah ini bagi memastikan bubur Mat Jambu kekal busuk dan meloyakan.

Khabarnya, selagi bubur Mat Jambu terus berbau busuk dan dibawa untuk dijaja di seluruh kampung menerusi jerayawara khas, selagi itulah penduduk akan terasa loya dan jijik dengan Irwan dan gerai yang dimilikinya.

Akan tetapi, tanpa disedari, orang ramai mula terasa loya melihat Gerai Bijan milik Tauke Jib. Setiap kali melihatnya – atau memikirkan tentangnya – orang ramai terasa mahu muntah. Bubur Mat Jambu yang busuk dan berulat muncul di depan mata.

Khabarnya penduduk kampung kecil bernama Siru Kambam hanya menunggu masa untuk tidak meneruskan kontrak Gerai Bijan apabila tamat tempoh pada kali ini.
________________________________________

* Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau seorang penulis sepenuh masa.