Wawancara

Karpal, di mata puteri tunggalnya (Bahagian 1)

Di mata Sangeet, Karpal Singh adalah seorang manusia yang amat istimewa dari pelbagai sudut. Bagi beliau, Karpal dikenali ramai melalui wataknya sebagai ahli politik dan peguam, namun sebagai seorang individu dan bapa, Karpal teramat istimewa.

Sebagai satu-satunya anak perempuan Harimau Jelutong itu, Sangeet juga tidak kurang istimewa di hati ayahnya.

“Kami memang rapat. Tahu sajalah hubungan seorang ayah dengan anak perempuannya,” kata Sangeet, berkisah tentang mendiang Karpal yang genap setahun meninggalkan mereka sekeluarga April ini. Dalam pertemuan tengah hari itu, Sangeet tidak henti menguntumkan senyum setiap kali menuturkan ayat yang baik-baik tentang bapanya.

“Saya beruntung kerana saya satu-satunya anak perempuan tunggal,” ujar beliau. Sangeet masih ingat ketika adik bongsunya Mankarpal dilahirkan, beliau begitu sedih kerana tidak mendapat seorang adik perempuan untuk dijadikan teman. Tidak dapat menerima keadaan itu, Sangeet lantas mengunci dirinya di dalam bilik.

“Ayah datang ke bilik saya, merangkul saya dalam dakapannya dan berkata, ‘Untunglah dapat seorang adik lelaki. Kalau perempuan, kamu tak lagi menjadi satu-satunya puteri saya’. Saya berusia lapan tahun waktu itu.”

Sewaktu Sangeet membesar, meski Karpal sentiasa sibuk dengan tugas, keluarga sentiasa dikhaskan suatu masa setiap pagi Ahad untuk bersarapan bersama.

Walaupun membesar di Pulau Pinang, Sangeet menjalani A-Levels-nya di Kuala Lumpur. Justeru itu, beliau meluangkan masa yang lebih banyak bersama Karpal.
IMG_6163“Sewaktu itu lah saya belajar memasak. Dan ayah terpaksa menjamah bahan uji kaji saya di dapur. Dan dia selalunya akan memuji masakan saya, walaupun hidangan itu tak menjadi.”

Sangeet tidak dibenarkan oleh ayahnya untuk mengikut jejak langkah abang-abangnya yang melanjutkan pelajaran ke luar negara sejurus selepas SPM – menjalani matrikulasi di Australia. Bagi Karpal, Sangeet masih terlalu muda dan mahunya, Sangeet mesti sentiasa hampir dengannya.

Karpal bukan orang yang banyak bercakap, kata Sangeet. Ketika beliau melanjutkan pelajaran ke England, percakapan telefon antara beliau dan ayahnya selalunya singkat-singkat belaka. Meski menjalani latihan dalam kamar di tanah air, Sangeet menyimpan cita-cita untuk beramal di England namun tidak memberitahu Karpal.

“Setelah dua minggu saya menjadi peguambela dan peguamcara, pada awal Januari 2005, ayah mengalami kemalangan,” jelas beliau menceritakan kecelakaan yang menimpa Karpal ketika itu dan seterusnya membuatkan beliau terpaksa berkerusi roda sehingga ke akhir hayatnya.

Episod itu mengubah kehidupan Karpal dan juga keluarganya. Sejak itu, Sangeet sudah tidak lagi terfikir untuk meninggalkan negara. Meski kemalangan tersebut membuatkan mereka berasa kerdil sebagai insan biasa, Karpal tetap menunjukkan kekuatan yang luarbiasa dan ternyata menjadi sumber inspirasi kepada Sangeet dan ahli keluarga.

Doktor memberitahu bahawa masalah saraf yang dialami Karpal mungkin sembuh dalam masa tiga ke empat bulan, namun itu tidak berlaku. Menurut Sangeet, tempoh tersebut amat sukar bagi mereka, apatah lagi beliau pula dijadualkan bernikah pada bulan Mac tahun yang sama, kad jemputan juga sudah siap diutus.

IMG_6161“Bagaimana saya boleh bersukaria di saat ayah saya berada dalam keadaan sedemikian. Perasaan terkejut masih begitu dirasakan.”

Majlis perkahwinan Sangeet ditunda sehingga ke tahun berikutnya. Suami beliau, seorang pakar bedah ortopedik amat memahami keadaan yang beliau lalui, dan seterusnya menjadi teman yang amat karib kepada Karpal.

Bulan demi bulan berlalu, mereka mula menerima hakikat bahawa Karpal tidak akan mampu berdiri dan berjalan lagi. Amat sukar melalui tempoh-tempoh awal bagi menyesuaikan diri dengan rutin yang baru. Mendiang Michael, yang turut terkorban dalam kemalangan tahun lalu cuma mula bekerja membantu Karpal dua atau tiga tahun selepas kejadian tersebut.

“Michael bagaikan seorang malaikat yang diutuskan kepada keluarga kami,” kata Sangeet, sambil bercerita bagaimana Karpal menyesuaikan diri dengan kehidupan berkerusi roda dan kembali ke pejabat, mahkamah dan juga ke Parlimen.

“Bila dia di pejabat, dia kembali aktif,” tambahnya dengan nada membantah, memandangkan mendiang ketika itu memerlukan rawatan fisioterapi. Tetapi Karpal lebih suka berada di pejabat, membaca dan menyelesaikan tugas-tugasnya. Namun mereka sedar bahawa rawatan fisioterapi tidak berkesan membangkitkan roh dan jiwa Karpal yang begitu tangkas dan aktif di pejabat. “Jadi, Michael yang membantu melakukan rawatan fisioterapinya setiap hari.”

“Kemalangan tersebut adalah satu rahmat bagi saya kerana saya berpeluang meluangkan lebih banyak masa bersamanya. Kami tertawa dan menangis bersama.”

(Bersambung…) – Roketkini.com