Rencana

Mungkinkah agama dan kaum sekali lagi membunuh harapan perubahan?

Julai 2015 menandakan genap 60 tahun Umno berkuasa sejak memenangi pilihanraya untuk berkerajaan sendiri yang dikendalikan oleh pihak British pada tahun 1955. Ia memegang rekod dunia sebagai kerajaan dilantik yang paling lama memerintah tanpa pernah diganti.

Di samping menggunakan kekuasaan yang disandangnya itu untuk melukis semula garis sempadan kawasan pilihanraya, mengedarkan sumbangan untuk membeli sokongan sambil mengagihkan bantuan ekonomi, alatan mandiri Umno turut termasuk manipulasi sentimen perkauman ketika berlaku krisis, memecahbelah pihak lawan, dan membuat tangkapan beramai-ramai demi memaksimakan faktor ketakutan, seperti yang dapat dilihat pada tahun 1987 dan 2001.

Pergolakan 1987

Pada bulan April 1987, Dr Mahathir Mohamad berhadapan krisis kepimpinan di dalam Umno. Pun begitu beliau berjaya memenangi jawatan presiden, menewaskan cabaran Tengku Razaleigh Hamzah, walaupun dengan majoriti tipis 43 undi. Perpecahan Team A dan Team B tidak berakhir dengan pemilihan Umno.

Anggota Kabinet Team B, termasuk Abdullah Badawi, telah dipecat serta merta namun ia tidak menghalang kempen dalaman yang begitu hebat untuk melengser Dr Mahathir. Para pemerhati percaya bahawa Dr Mahathir tidak akan dapat bertahan dalam pemilihan parti seterusnya dalam masa tiga tahun kemudian.

Menjelang September 1987, sebuah kebimbangan kecil melibatkan pendidikan Cina – penghantaran guru yang tidak menerima pendidikan Cina ke sekolah-sekolah Cina – telah memuncak menjadi sebuah konfrontasi perkauman. Pemuda Umno di bawah kepimpinan Najib Razak, telah mengugut untuk mengadakan sebuah rapat raksasa seramai 500,000 orang di Kuala Lumpur pada 1 November.

Pada 18 Oktober, seorang prebet tentera bernama Adam Jaafar telah mengamuk di Jalan Chow Kit – tapak penting pertembungan kaum 13 Mei 1969. Adam telah melepaskan tembakan rambang, membunuh seorang mangsa apabila peluru yang ditembaknya melantun.

Satu minggu kemudian, 106 orang ahli politik berprofil tinggi, aktivis, ahli akademik dan pengamal media telah ditahan. Pada tarikh 27 Oktober itu, mereka ditahan tanpa bicara di bahawa undang-undang drakonian Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pada penentang dari luar yang paling dinamik, termasuk Ketua Pembangkang ketika itu Saudara Lim Kit Siang, semuanya disumbat ke penjara. Pada masa yang sama, para pengkritik Dr Mahathir di dalam Umno terus gerun membatu.

Pada bulan Februari 1988, Umno diisytihar haram oleh Mahkamah Tinggi, berdasarkan cadangan yang dibuat oleh peguam-peguam yang mewakili Umno.

Dr Mahathir pun menubuhkan sebuah parti baru dinamakan ‘Umno Baru’ yang meminggirkan para ahli yang tidak dikehendaki dari kalangan Team B lantas memaksa pasukan Tengku Razaleigh di Team B untuk menubuhkan parti Semangat 46.

Perlahan-lahan Dr Mahathir mengembalikan kedudukan dan apa yang dihilangnya sebelum ini. Pilihanraya Umum 1990 jelas sukar bagi Dr Mahathir dan Barisan Nasional namun pada waktu itu beliau sudah tidak lagi mempunyai ramai lawan yang kredibel untuk ditangani. BN mengekalkan majoriti dua pertiga.

Dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, Dr Mahathir muncul sebagai pemimpin yang popular dan berkeyakinan tinggi pada awal dekad 90’an. Kembalinya Dr Mahathir dengan begitu bergaya serta dominasinya berkekalan sehingga awal 1997 apabila krisis ekonomi Asis turut memberi kesan kepada negara.

Reformasi 1998

Timbalannya Anwar Ibrahim telah bekerja keras untuk menyelesaikan krisis tersebut namun telah dilihat sebagai pencabar utama Perdana Menteri. Seruan reformasinya tidak disenangi Mahathir. Pada September 1998, Anwar dipecat daripada kerajaan dan juga Umno, sebelum akhirnya dipenjarakan.

Walaupun lebih separuh pengundi Melayu tidak mengundi kerajaan demi menunjukkan sokongan kepada Anwar yang ketika itu dipenjara, kempen BN terhadap PAS dan cadangan hudud serta negara Islam lah yang telah menyemai kerisauan di kalangan pengundi bukan-Melayu ketika pilihanraya pada November 1999 itu. Justeru BN sekali lagi berjaya kekal berkuasa, dengan majoriti dua pertiga yang tidak tergugat, walaupun berhadapan pakatan pembangkang yang bersatu di bawah nama Barisan Alternatif.

Mungkin ada yang terfikir bahawa Dr Mahathir tidak akan dapat bertahan sekali lagi, terutamanya apabila sahamnya jatuh setelah kekalahan calon BN di pilihanraya kecil Lunas, Kedah pada 29 November 2000. Saifuddin Nasution dari Parti KeADILan mengejutkan negara apabila beliau memenangi kerusi berbilang kaum yang disandang BN itu. Ia mengejutkan Umno dan BN. Komposisi etnik di Lunas menjadi cerminan negara.

Maka selepas pilihanraya kecil terbabit, Pemuda Umno di bawah Hishammuddin Hussein merancakkan serangan terhadap kumpulan perayu pilihanraya yang mewakili persatuan etnik Cina Suqiu, yang akhirnya mengakibatkan kumpulan tersebut terpaksa menandatangani perjanjian damai pada 5 Januari 2001 bersama Pemuda Umno untuk menarik balik cadangan mereka.

Sentimen perkauman semakin menjadi-jadi. Perhimpunan perpaduan Melayu turut berlangsung.

Pun begitu apabila sebuah perhimpunan dirancang untuk memperingati pemenjaraan Anwar pada 14 April 1999, pihak kerajaan telah menahan 10 orang aktivis berprofil tinggi, termasuk Raja Petra Kamaruddin, Hishammuddin Rais, Tian Chua, Saari Sungib dan Ezam Mohd Noor, beberapa hari sebelum acara itu berlangsung. Enam daripadanya ditahan selama dua tahun di bawah ISA.

Apa yang menarik, Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu yang juga Menteri Dalam Negeri pada mulanya mendakwa bahawa beliau langsung tidak tahu menahu mengenai tangkapan polis di bawah ISA, walaupun beliau lah yang menandatangani perintah tahanan selepas tempoh tahanan awal 60 hari.

Saya cenderung untuk percaya kepada Abdullah. Senario yang paling mungkin ialah arahan tangkapan diberikan terus oleh Dr Mahathir, barangkali tanpa memaklumkan langsung Menteri Dalam Negeri.

Kerajaan mendakwa bahawa aktivis KeADILAN merancang protes ganas bagi menggulingkan kerajaan, serta cuba mendapatkan senjata dan bahan letupan. Dakwaan ini langsung tidak dibuktikan.

Krisis 2001

Pada 28 Mei 2001, MCA telah membeli dua akhbar harian Cina, Nanyang Siang Pau dan China Press, melalui cabang pelaburannya.

Sejak sekitar bulan Jun, isu Negara Islam menjadi topik perdebatan hangat di media dengan lidah rasmi Umno Utusan Malaysia menggesa PAS berpisah daripada rakan-rakan Barisan Alternatif sementara MCA, Gerakan dan media serta akhbar Cina menekan DAP untuk berpisah dengan PAS. Apabila PAS berkeras dengan agenda Negara Islam, DAP meninggalkan pakatan tersebut pada 22 September 2001.

Pada bulan Julai 2001, sebuah kumpulan militan Al-Maunah yang kemudiannya didakwa di mahkamah kerana ‘melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong’ telah ditangkap. ‘Terorisme Islam’ telah hadir untuk mengancam Malaysia, dakwa mereka.

Pada 29 September 2001, Dr Mahathir membalikkan keadaan kepada PAS dan mengisytiharkan bahawa Malaysia sudah pun merupakan sebuah Negara Islam!

PAS kemudiannya melalui perdebatan dalaman untuk memutuskan sama ada sebuah negara Islam harus bersifat demokratik atau kuno. Pihak konservatif dalam PAS diketuai Haron Din, dengan sokongan Hadi Awang telah memenangi perdebatan itu dengan terbitnya Dokumen Negara Islam pada bulan November 2003.

Menjelang awal 2002, Dr Mahathir telah kembali menjadi pemimpin yang berkeyakinan dan telah berjaya mengumpul semula segala kerugiannya. Beliau mengumumkan peletakan jawatannya pada 22 Jun 2002, walaupun secara rasminya meletakkan jawatan 16 bulan kemudian pada 31 Oktober 2003. Kebetulan, presiden PAS yang moderat, Fadzil Noor meninggal dunia pada 23 Jun 2002, sehari selepas peletakan jawatan penuh drama oleh Dr Mahathir di Perhimpunan Agung Umno.

Adakah ia akan berulang kembali?

Lebih satu dekad kemudian, hari ini, kita boleh bertanya, adakah Najib Razak sedang cuba mengulang kembali apa yang dibuat oleh gurunya?

Petanda-petandanya sudah kelihatan. Baji hudud dan retak yang menanti belah dalam Pakatan Rakyat, serta meningkatnya kembali sentimen perkauman, militan ekstremis IS, dan apa yang disebut sebagai ISA baru di bawah nama Akta Pencegahan Keganasan (POTA). Dan semua ini berlaku ketika Umno sedang berhadapan pergelutan dalaman yang begitu hebat, termasuk serangan-serangan Mahathir terhadap Najib.

Adakah kita rakyat Malaysia akan membenarkan sejarah, yang telah menjadi tragedi dan sandiwara, untuk kembali berulang semula?

*Petikan daripada ucapan di forum Malaysian Progressives in Australia “Can we depart from race politics?” di Melbourne pada 6 April 2015.