Berita

Karpal Singh, demokrat tulen – Bekas Speaker DUN Kelantan

KUALA LUMPUR, 17 APR: Barangkali ramai yang tidak tahu bahawa Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah, bekas Speaker Dewan Undangan Kelantan dan juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu ini merupakan antara pimpinan PAS yang paling intim dengan mendiang Karpal Singh.

Beliau yang lebih mesra dipanggil ‘Cikgu Rahim’ memiliki sudut pandang berbeza ketika mengulas peribadi mendiang Karpal.

“Secara peribadi saya memang biasa dengan mendiang, iaitu semenjak awal 80-an, ketika saya sebagai setiausaha kepada Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Kelantan yang seramai 10 orang.

“Saya diminta oleh Tuan Guru Nik Aziz berjumpa dengan ahli-ahli parlimen daripada DAP. Tuan Guru (Nik Aziz) ingin tahu dan meminta saya mengkaji peranan pusat khidmat DAP yang begitu berkesan pada waktu itu,” kata Cikgu Rahim menceritakan pertemuan awalnya dengan mendiang Karpal.

Usaha mencontohi gerak kerja DAP melalui Pusat Khidmat, dengan Cikgu Rahim dan Karpal Singh sebagai ‘diplomat’ di antara kedua-dua parti politik membina persahabatan selama kira-kira 30 tahun.

“Saya pergi ke pejabat guamannya di Pudu, Kuala Lumpur, dan kadang-kala, Karpal pula datang sendiri ke Kota Bharu,” kata Cikgu Rahim yang kerapkali menemani peguam senior itu di negeri Cik Siti Wan Kembang, lebih-lebih lagi jika ada urusan kerja di mahkamah.

“Dalam masa berinteraksi, kami berbincang tentang pelbagai perkara. Tentang keluarga, tentang agama. Cukup menarik. Di situ saya membuat kesimpulan bahawa beliau bukan garang seperti yang disangka orang ramai.

“Dia selalu menbicarakan hal anak-anak dan berbincang bagaimana untuk kita yang berlainan bangsa atau agama, mampu membina keakraban bersama,” ujar Cikgu Rahim.

Menurut Cikgu Rahim, pandangan orang ramai terhadap Karpal sebagai tokoh politik kontroversi sudah tentu salah, kerana terperangkap dengan ulasan sepihak media, selain gagal membezakan kapasiti seorang politik yang sedang bertugas.

“Kalau kita tengok caranya sebagai peguam berbahas di mahkamah, kita boleh tahu bahawa mendiang ini adalah seorang yang berhujah dengan hati.

“Dia tidak kasar, tidak garang dan tidak gopoh. Dia berhujah berdasarkan kepada fakta,” ujar Cikgu Rahim.
Manakala ketika menceritakan pengalamannya bersama Karpal di barisan Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat,

Cikgu Rahim memberitahu bahawa pandangan mendiang sering menjadi rujukan termasuk oleh Speaker Dewan Rakyat terutamanya melibatkan hal perundangan.

“Kehebatan mendiang boleh dirujuk pada sesi Dewan Rakyat 2008-2013. Speaker Dewan Tan Seri Pandikar Amin Mulia ketika itu sebelum membuat penggulungan memberikan laluan kepada Karpal berhubung sebuah usul (Rang Undang-undang) yang yang sedang dibahaskan.

“Beliau diberi peluang untuk memberi pandangan sebagai ahli parlimen senior dan peguam. Penghormatan yang diberikan oleh Speaker Dewan Rakyat itu adalah kemuncak kepada peranannya sebagai pengamal undang-undang dan juga wakil rakyat.

“Dan pandangannya diyakini dan diberikan kepercayaan walaupun daripada (Speaker) yang berbeza parti. Sebagai seorang demokrat, mendiang meletakkan Perlembagaan sebagai (dokumen) yang paling tinggi.

“Justeru itu, apa sahaja yang bercanggah dengan Perlembagaan, akan dilawan,” ujar Cikgu Rahim. – Roketkini.com