Rencana

Memperingati ulangtahun pertama pemergian Karpal Singh

Sambil kita memperingati ulangtahun pertama pemergian yang tidak diduga Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh, kita meratapi kehilangan yang dirasakan oleh parti dan juga orang ramai. Sementara kita tidak mungkin memberi galang ganti buat perit dan sedih yang ditanggung ahli keluarganya, Malaysia turut jelas bertambah fakir tanpa Karpal di kalangan kita.

Karpal telah memajukan profil parti sebagai sebuah parti rakyat Malaysia, dan membawa perjuangan demi keadilan, kebebasan dan demokrasi ke tahap yang lebih tinggi. Beliau tidak sekadar mencipta sejarah dengan menjadi Pengerusi Kebangsaan DAP bukan-Cina yang pertama, tetapi juga menggunakan kemahiran undang-undangnya untuk memperlihatkan makna Malaysian Malaysia, dengan mempertahankan hak semua orang tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun kewarganegaraan. Ternyata bagi Karpal, kezaliman di mana-mana adalah ancaman bagi keadilan di serata dunia.

Saya ingin memperingati Karpal, sebagai seorang insan. Karpal Singh merupakan salah seorang daripada sebilangan kecil pemimpin DAP yang menyinarkan cahaya pengharapan kepada ramai orang, dan diingati atas sifat kebaikannya yang semulajadi. Beliau dihormati kerana kepeduliannya terhadap orang ramai, dan rela menjadi seorang pendengar yang baik dengan kemahiran untuk menjadikan seseorang merasa dihargai.

Karpal menyesuaikan hidupnya dengan keperluan orang lain lebih daripada dirinya sendiri. Dalam proses ini, beliau telah terpaksa melalui beberapa kesengsaraan. Corak kekalahan, pengiktirafan, penebusan diulang berkali-kali. Namun beliau sentiasa memberitahu saya bahawa kesengsaraan adalah sebahagian daripada perjuangan malah berguna untuk menyuntik kekuatan ke dalam jati diri.

Beliau selalu mengulang sebut, “Tengok Kit (Lim Kit Siang) dan saya. Kami berdua pernah kalah dan pilihanraya dan kedua-duanya pernah masuk penjara tetapi kami tidak dilemahkan kerananya”. Beliau percaya bahawa kekalahan bukanlah penghujungnya tetapi ujian wajib ke atas kepercayaan dan prinsip.

Karpal sentiasa setia dengan kawan-kawan dan teman seperjuangannya sejak dahulu, terutamanya Kit dan Dr Chen Man Hin, serta mereka yang kekal bersama parti ketika ia hampir lenyap dalam pilihanraya. Beliau berkongsi kegembiraan, kesedihan dan kesengsaraan berjuang melawan rejim pemerintah yang menindas.

Saya merindui Karpal sang pemimpin, mentor dan insan yang bukan sahaja memberi harapan tetapi memberi inspirasi kepada kami dengan optimisme untuk kekal berpegang kepada prinsip. Saya merindui gelak tawanya yang ikhlas yang akan membangkitkan semula semangat kami untuk bangkit lagi dan lagi setelah tewas. Paling penting sekali saya merindui semangat wajanya untuk terus berjuang, walaupun nasib tidak pernah menyebelahi.

Berehatlah dengan tenang, Karpal – saudara akan sentiasa dalam kenangan.