Berita

MP Kulai cadang pemandu Singapura jelaskan saman sebelum tinggalkan Malaysia

KULAI 17 APR: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menyarankan kerajaan Malaysia mencontohi Singapura yang meminta pesalah jalan raya menjelaskan saman mereka sebelum meninggalkan republik itu.

Menurut Nie Ching, berdasarkan jawapan Menteri Dalam Negeri di Parlimen baru-baru ini, sejak tahun 2010 sehingga 2014, sejumlah 299,823 saman lalu lintas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikeluarkan ke atas kenderaan dari luar negara.

Daripada saman yang dikeluarkan itu, sejumlah 76,531 saman ataupun 25 peratus sahaja yang telah berjaya diselesaikan.

“Isu tunggakan saman yang tidak diselesaikan pemandu kenderaan warganegara asing di negara kita masih belum dapat diatasi sepenuhnya,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Ujarnya, pada tahun 2010 sahaja, sebanyak 39,165 saman tertunggak daripada pemandu kenderaan warganegara asing, dan jumlah itu hanya menurun pada tahun 2011 kepada 17,028 saman.

Manakala pada tahun 2012, sebanyak 20,806 saman yang tidak dibayar warganegara asing.

Jumlah tersebut terus menunjukkan peningkatan yang tinggi pada tahun 2013 iaitu sebanyak 72,921 saman dengan peningkatan sebanyak 52,115 saman atau 3.5 kali ganda dari tahun sebelumnya.

Ia terus meningkat pada tahun 2014 kepada 73,372 saman walaupun beberapa operasi untuk saman trafik tertunggak warga asing telah dijalankan pada Disember tahun tersebut.

Daripada 76,531 saman yang berjaya diselesaikan itu, RM8,518,250 telah berjaya dikutip. Sekiranya kerajaan Malaysia dapat mengutip semua saman tertunggak, dianggarkan jumlah kutipan yang boleh diperolehi secara puratanya adalah sebanyak RM24,853,419.

Tambah Nie Ching, sekiranya kenderaan warganegara asing jika dikenakan saman di Singapura, pesalah dikehendaki membayar saman terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar.

Antara kaedah yang dipakai oleh kerajaan Singapura adalah sistem saman elektronik secara online, saman yang dikenakan akan disenaraikan secara automatik ke dalam sistem mereka.

“Jumlah saman tertunggak yang begitu tinggi bukan sahaja menjadi kerugian besar kepada negara, tetapi apa yang kita membimbangkan, peraturan dan undang-undang jalan raya Malaysia tidak dipatuhi oleh warganegara asing kerana penguatkuasa yang lemah dan tidak berkesan,” ujarnya. – Roketkini.com