Berita

IPK Johor terbengkalai, rakyat rugi RM17 juta dana tambahan

JOHOR BAHRU, 19 APR: Kegagalan kontraktor asal, Global Globe Sdn. Bhd menyiapkan projek Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos kontrak baru berjumlah RM72.8 juta.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, kerajaan terpaksa melantik kontraktor baru QSE Construction Sdn. Bhd pada 5 Februari 2015 untuk menyiapkan projek bangunan tambahan IPK Johor yang terbengkalai dengan nilaian tambahan RM17.6 juta.

Menurut Nie Ching, berdasarkan jawapan Menteri Dalam Negeri di parlimen baru-baru ini, kos asal projek tersebut sepatutnya hanya menelan belanja sebanyak RM103.5 juta.

Namun, parlimen dimaklumkan bahawa kerajaan telah melakukan pembayaran sebanyak RM48,321,699 kepada kontraktor asal iaitu Global Globe Sdn. Bhd dengan baki yang belum dijelaskan sebanyak RM55,234,995.84.

“Perkara ini sudah menjadi satu projek sakit kerajaan yang merugikan wang rakyat,” kata Nie Ching dalam kenyataannya hari ini.

Tambah Nie Ching, meskipun kontraktor asal dikenakan Denda Tidak Siap Kerja (LAD) pada kadar RM17,190.41 sehari bagi tempoh bermula 19 Julai 2013 sehingga 9 Februari 2014 (206 hari), LAD sebanyak RM3,541,224.46 itu tidak mencukupi untuk menanggung kos tambahan sebanyak RM17.6 juta.

Ketika denda masih belum dibayar Global Globe Sdn Bhd sehingga ke hari ini, tidak ada penjelasan terhadap dakwaan seorang pemimpin Umno dinamakan sebagai pengarah eksekutif bagi syarikat kontraktor Global Globe Sdn. Bhd.

“Rakyat berhak mengetahui sama ada kerajaan telah melantik kroni yang kurang berkemanpuan.

“Menteri Dalam Negeri Datuk Ahmad Zahid Hamidi masih belum memberi penjelasan kepada rakyat sama ada kontraktor ini dilantik secara tender terbuka.

“Penjelasan lebih terperinci daripada Zahid Hamidi mengenai isu projek terbengkalai IPK Johor perlu diberikan, kerana apa yang berlaku telah merugikan rakyat, lebih-lebih lagi berkaitan soal keselamatan negara,” tegas Nie Ching. – Roketkini.com