Berita

DAP gesa kerajaan jamin tegakkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 20 APR: Kerajaan digesa memberi jaminan kepada orang ramai untuk menegakkan Perkara 11 (Kebebasan Beragama) Perlembagaan Persekutuan kepada setiap rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto membuat gesaan itu berikutan insiden bantahan penggunaan lambang salib di Taman Medan semalam sewaktu upacara keagamaan gereja sedang berlangsung.

“Apa telah jadi kepada identiti berbilang kaum, berbilang agama serta negara yang mempunyai pelbagai etnik di rantau ini, yang suatu masa dulu menjadi kebanggaan Malaysia?

“Amat menyakitkan untuk mempercayai bahawa benih tidak bertoleransi terhadap agama yang ditanam begitu lama oleh segelintir parti politik mengikut etnik akhirnya membuahkan hasil,” kata Kasthuri dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang itu menujukan persoalan tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Kasthuri merujuk kenyataan bekas Menteri BN, Datuk Saifuddin Abdullah di laman twitter yang mengutuk tindakan tersebut dan bertegas bahawa ‘Islam tidak megajar umatnya meminta gereja menurunkan salib’, namun sehingga kini kerajaan terus membisu.

Ironinya kata Kasthuri, Muhyiddin ketika berucap di forum ‘Engaging the young to criminalise war and energise peace’ (Mendampingi golongan muda untuk menjenayahkan perang dan mengupayakan keamanan) semalam menekankan mengenai bahaya ekstremisme dan menggesa sebarang tanda kecenderungan ke arah itu dihentikan segera.

“Tahukah Muhyiddin bahawa kira-kira 25 kilometer dari tempat dia berucap, kira-kira 50 orang melakukan bantahan terhadap gereja hanya kerana meletakkan lambang salib di bangunan?” soal Kasthuri – Roketkini.com