Rencana

Mengapa kita kembali kepada kejumudan?

Sedih. Perkataan yang paling sesuai untuk saya gambarkan rasa yang menjerut sanubari saya ketika ini. Saya tercari-cari apakah puncanya semua yang berlaku sekarang?

Mengapa negara ini seolah-olah mengundur ke belakang? Ekonomi, politik, hubungan sosial antara masyarakat, segalanya berada dalam mod jumud. Kejumudan yang amat dahsyat sedang membelit setiap nafas warga.

Rasional tidak lagi berlaku. Sentimen dan bara permusuhan terus menerus dinyalakan. Warga menjadi begitu takut dengan bayang-bayang sendiri. Ke mana sebenarnya negara ini mahu dibawa?

Saya tinggal di dalam sebuah kawasan perumahan yang majoriti penduduknya adalah Muslim. Tetapi apa yang menariknya di dalam taman saya tidak mempunyai surau, apatah lagi masjid. Lebih menarik, di sini mempunyai tiga buah tokong dan dua buah gereja.

Rumah saya umpama dikepung. Depan, tepi dan belakang rumah saya ada tokong. Kedua-dua jalan masuk ke taman saya ini mempunyai gereja. Tetapi semua penduduk Muslim tidak pernah merasakan aqidah kami tergugat.

Saban tahun, pelbagai upacara sama ada keagamaan mahupun kebudayaan yang mereka buat di premis mereka. Boleh dikatakan setiap suku tahun pasti ada aktiviti besar. Tetapi sudah lebih 10 tahun saya tinggal di sini, belum pernah sekalipun kami berhimpun membantah atau mencerca amalan agama mereka.

Sebaliknya, kami, penduduk-penduduk yang berlainan agama dan budaya memilih jalan toleransi. Jalan kedamaian.

Pada permulaannya, kami bertemu dengan pihak-pihak pengurusan tempat ibadat ini dan mengutarakan permasalahan yang dihadapi setiap kali aktiviti dijalankan. Kami berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang damai tanpa membakar api sentimen dan prejudis.

Sehingga kini, walau apa pun aktiviti dan upacara yang mereka lakukan, mereka akan memperlahankan pembesar suara selama 20 minit setiap kali masuk waktu solat sebagai menghormati penduduk Muslim untuk menunaikan kewajipan mereka sebagai hamba Allah.

Walaupun saya tidak berapa ambil kisah mengenai kereta-kereta pengunjung yang parkir di hadapan rumah saya selagi mana ia tidak menutup pagar rumah saya, tetapi pengurusan tempat ibadat ini juga menghormati ruang jalan untuk saya keluar masuk ke rumah saya dengan selesa dan menugaskan RELA untuk menjaga agar kenderaan tidak diparkir sesuka hati.

Kami tidak pernah sesekali merasakan tindakan kami yang memilih jalan toleransi, jalan kedamaian ini membawa maksud kami adalah Muslim yang apologetik dan penakut.

Tidak.

Kami sebenarnya lebih berani daripada mereka-mereka yang berhimpun menuntut simbol “Cross” di sebuah gereja di Selangor diturunkan. Malah, Islam sendiri tidak membenarkan kita mencerca dan mencaci agama lain.

Kami berbincang menyuarakan hak kami sebagai penduduk dan dalam masa yang sama kami tidak menafikan hak penganut lain untuk mengamalkan ajaran agama. Sebenarnya, kami sedang berada dalam landasan yang baik untuk menghormati dan dihormati. Inilah hikmah kami memilih jalan toleransi yang mendamaikan. Bukan jalan permusuhan dan prejudis.

Penghormatan tidak dipaksa mahupun diminta. Penghormatan diperoleh dan ditawarkan.

Ahmad Anwar Asyraf
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor