Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Vaksin Covid-19: PH gesa kerajaan libatkan sektor swasta melalui “Kerjasama Awam-Swasta”

Kenyataan Media Jawatankuasa Vaksinasi COVID-19 Pakatan Harapan (PH) pada 2 Mac 2021:

  1. Pada 26 Januari lalu, Menteri Sains, Teknologi dan inovasi (MOSTI) YB Khairy Jamaluddin ada menyebutkan bahawa kerajaan menyasarkan 75,000 dos vaksin yang disuntik dalam masa sehari. Namun setakat 28 Februari 2021, Menteri yang sama melepaskan ciapan twitter beliau bahawa hanya 15,923 rakyat Malaysia yang telah disuntik vaksin pada hari itu.
  2. Kami tidak pasti sasaran 75,000 suntikan sehari tidak dapat dicapai oleh kerana minggu ini adalah minggu awal program vaksinasi COVID-19. Tetapi ini mungkin adalah tanda awal (“early signs”) bahawa sistem pemberian vaksin yang sekarang sedang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan mungkin tidak mempunyai kapasiti yang cukup untuk mencapai sasaran setinggi 75,000 sehari.
  3. Kekangan kapasiti ini akan lebih dirasakan ketika FASA 2 dan 3 Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau National COVID-19 Immunisation Program (NCIP) di mana 9.4 juta dan 13.7 juta orang, masing-masing, akan diberi vaksin berbanding dengan hanya 500,000 orang untuk FASA 1.
  4. Sebagai langkah yang lebih proaktif, KKM perlu mempertimbangkan segera kolaborasi dengan pihak hospital swasta untuk bersama-sama menjayakan NCIP dengan lebih cepat bagi mencapai imuniti kelompok 80%. Satu contoh kolaborasi ini adalah untuk mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di klinik ataupun hospital swasta. Dengan adanya lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) diwujudkan, kemungkinan terjadinya “bottleneck” di mana-mana PPV boleh dikurangkan. Pada masa yang sama, penjarakan sosial yang lebih efektif boleh dilaksanakan jikalau terdapat lebih banyak lokasi PPV.
  5. Terma dan syarat Kerjasama Awam Swasta (PPP) untuk pemberian vaksin perlu dilakukan dengan telus supaya ia tidak diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu sahaja. Mana-mana pihak dari sektor swasta yang memenuhi syarat yang ditetapkan dalam perjanjian PPP patut diberikan peluang untuk menyertai NCIP.
  6. Kami tegaskan bahawa vaksin tidak sepatutnya dijual kepada sektor swasta untuk dijual kepada penawar tertinggi (“highest bidder”) sewaktu bekalan vaksin tempatan masih terhad. Sektor swasta akan memberi suntikan mengikut jadual nama yang ditentukan oleh KKM. Ada kemungkinan yang sektor swasta akan menyertai NCIP sebagai sumbangan CSR mereka.
  7. Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melibatkan sektor swasta dalam rawatan pesakit COVID-19. Syarikat Pharmaniaga juga telah diberikan tanggungjawab untuk melakukan “fill and finish” untuk vaksin Sinovac dari negeri China. Penglibatan sektor swasta dengan kaedah yang tersusun dan telus pasti dapat melicinkan proses pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia secara selamat dan efektif.

YB Dr Dzulkefly Ahmad – Chair (Kuala Selangor)

YB Dr Lee Boon Chye (Gopeng),

YB Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching),

YB Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut),

YB Sim Tze Tzin (Bayan Baru),

YB Dr Ong Kian Ming (Bangi),

YB Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan Selangor),

YB Dr Norlela Ariffin (Exco Kesihatan Pulau Pinang),

YB Veerapan Supramaniam (Exco Kesihatan Negeri Sembilan).