Berita

DAP gesa Najib aju dimensi sosial di sidang kemuncak ASEAN

KLANG, 25 APR: Tema sidang kemuncak ASEAN untuk meletakkan penduduknya sebagai agenda utama ekonomi sukar dicapai apabila kepentingan majoriti tidak dihiraukan negara-negara anggota.

Hal ini dibangkitkan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berikutan arah tuju integrasi ekonomi ASEAN yang kini melalui cabaran liberalisasi pasaran perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan.

“Tema sidang kemuncak ASEAN ‘Ke arah ASEAN yang memusatkan rakyat’ hanya boleh dicapai dengan agenda sosial dari dasar-dasar menguntungkan rakyat, bukan hanya syarikat-syarikat besar.

“Integrasi antara anggota ASEAN mempunyai potensi yang baik, namun ia wajib didasari keadilan, dan manfaatnya harus dirasai rakyat,” kata Charles dalam satu kenyataan.

Sidang kemuncak ASEAN 2015 yang bakal berlangsung dari 24 hingga 27 April ini adalah penting sebagai blok serantau yang memecahkan Komuniti Ekonomi ASEAN, yang bertujuan mewujudkan pasaran tunggal dan pengeluaran pada akhir 2015.

Santiago menegaskan bahawa Komuniti Ekonomi ASEAN ditubuhkan ketika penduduk rantau ini berdepan dengan kehilangan mata pencarian dan ketiadaan perlindungan buruh, upah yang rendah dan harga makanan meningkat.

Kata Charles, anggota ASEAN kini berdepan isu jurang pendapatan dan ketidaksamaan kekayaan, yang juga petunjuk kegagalan asas sosio-budaya yang seharusnya mempromosi perlindungan hak rakyat di negara ASEAN.

“Walaupun negara anggota lebih rapat secara ekonomi, keselamatan politik dan sosio budaya, namun komuniti ekonomi ASEAN hanya memberi manfaat dan memajukan kepentingan syarikat multinasional, perniagaan besar dan elit serantau,” kata Charles lagi.

Justeru itu, beliau menggesa Perdana Menteri Najib Seri Razak sebagai pengerusi berperanan memasukkan agenda-agenda rakyat dalam dasar ekonomi bersama.

“Najib mesti berusaha memajukan dimensi sosial dalam integrasi ekonomi di kalangan negara-negara ASEAN, kerana ia sebenarnya mewakili kepentingan majoriti.

“Ini termasuk melaksana piawaian teras buruh ILO (Pertubuhan Buruh Aantarabangsa), iaitu perlindungan sosial, memperkasa dialog, akses kepada makanan, kesihatan, khidmat sosial, perumahan dan pendidikan berpatutan di semua negara ASEAN,” tegas Charles. – Roketkini.com