Berita

PRK Permatang Pauh: Tolak GST dan kezaliman, bebaskan Anwar, selamatkan Malaysia

KUALA LUMPUR, 25 APR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggariskan lima isu yang perlu diberikan perhatian oleh pengundi pilihan raya kecil parlimen Parmatang Pauh.

Ujarnya, lima perkara yang bukan hanya penting kepada pengundi Permatang Pauh, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia itu merangkumi isu pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan bermotif politik, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan skandal 1MDB.

“Rakyat Permatang Pauh mesti mengundi bagi menggesa Ketua Audit Negara membentangkan laporan mengenai skandal 1MDB di Parlimen 18 Mei nanti.

“Pengundi juga harus mengecam penindasan yang semakin meningkat dalam negara, bukan sahaja kerana kelulusan undang-undang tidak demokratik seperti Akta Hasutan dan pindaan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

“..bahkan atas sikap tidak adil dan pilih kasih Ketua Polis Negara terhadap pimpinan Pakatan Rakyat dan aktivis NGO,” tegas Kit Siang.

Terdahulu, Kit Siang bersama pimpinan DAP turut mengiringi calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah bersama pemimpin PAS dan DAP ke pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Penanti, pagi ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan, pengundi PRK Permatang Pauh perlu mengundi bagi ‘menyelamatkan Malaysia’ dari kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas dasar 1Malaysia yang menyaksikan polarisasi kaum dan agama semakin meruncing.

“Di bawah dasar pentadbiran 1Malaysia Najib Razak, perpecahan kaum dan agama, terakam sebagai paling teruk dalam sejarah negara,” kata Kit Siang.

PRK Permatang Pauh 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara PKR yang diwakili Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail,  calon BN Suhaimi Sabudin, Azman Shah dari Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas, Salleh Ishak. – Roketkini.com