Berita

Impian Sarawak: DAP bantu penduduk kampung tingkat taraf ekonomi

SUBANG JAYA, 27 APR: Selain menyediakan kemudahan asas, DAP melalui Impian Malaysia turut berusaha membantu penduduk pedalaman Sarawak dengan mewujudkan projek bagi peningkatn taraf ekonomi, kata Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen.

Ahli Parlimen bandar Kuching itu berkata, projek tersebut merangkumi pembuatan barang-barang kraftangan.

“Kami katakan kepada penduduk kampung terutama ibu-ibu tunggal, suri rumah miskin bahawa anda tidak perlu meneruskan kebergantungan kepada BN.

“Jadi, kami sediakan pengajar kepada penduduk kampung yang merangkumi kira-kira 30, 60 dan 100 orang untuk mengajar mereka bagaimana membuat kraftangan.

“Orang kampung buat kraftangan dan DAP akan bantu menjualnya di pasar-pasar.

“Jangan risau selepas menjualnya, kami beri hasil jualan tersebut kepada pembuatnya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Mengumpul Dana Impian Sarawak di The Place, Subang Jaya, semalam.

Menurut Chieng Jen, usaha tersebut dibuat sebagai setiakawan bersama penduduk kampung bahawa mereka tidak bersendirian, dan DAP sentiasa memperjuangkan nasib mereka yang menderita diabaikan.

Chieng Jen semalam turut membawa lebih 100 kraftangan yang setiap satu berharga RM25 buatan ibu tunggal dari Kampung Tasik Biru, Sarawak.

Turut hadir Majlis Makan Malam antaranya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo.

Mac lalu, DAP melaksanakan tiga lagi projek Impian Malaysia di Sarawak dan Sabah.

Projek yang bermula pada 14 Mac itu dimulakan di Mambong (Sarawak), Sri Aman (Sarawak) dan Pitas (Sabah).

Sebelum itu, Impian Malaysia telah berjaya menyiapkan 30 projek semenjak dilancarkan pada September 2013.

Antara bantuan yang disumbangkan melalui Impian Malaysia adalah pembinaan jalan asas dan projek air graviti, pembinaan tandas komuniti, projek hidro mikro untuk menjana tenaga elektrik, kem pendidikan dan kem kesihatan di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai akses.

Untuk sebarang maklumat berhubung program terbaru, dokumentasi projek yang telah, sedang, dan akan dilaksanakan oleh Impian Malaysia, sila layari laman facebook rasmi di Impian Malaysia.

Bagi yang mahu membantu dengan menghulurkan sumbangan derma supaya kelangsungan projek dapat diteruskan boleh melakukannya secara atas talian di  https://dapmalaysia.org/donate/ atau mengeposkan cek ke Ibu Pejabat DAP. -Roketkini.com