Berita

Adakan pilihanraya, atau pilih Perdana Menteri baru – Kit Siang

JOHOR BAHRU, 28 APR – Dua pilihan diberikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang bagi memecahkan kebuntuan yang melanda negara; sama ada adakan pilihanraya umum atau lantik Perdana Menteri baru.

Dalam ucapannya di Pengkalan Rinting semalam, Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengemukakan agenda besarnya untuk ‘Selamatkan Malaysia’ dan mencadangkan supaya 222 Ahli Parlimen Malaysia untuk memilih seorang Perdana Menteri yang baru.

“222 orang Ahli Parlimen yang dipilih dalam PRU ke-13 5 Mei 2013 ini boleh memilih untuk melangkau garis perkauman, agama serta kepartian dan melantik seorang Perdana Menteri untuk ‘Selamatkan Malaysia’, yang komited untuk mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesederhanaan sebagai satu cara hidup Malaysia,” ujar beliau.

Namun katanya apa yang lebih penting daripada persoalan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri selepas Najib sebenarnya ialah agenda konsensus nasional untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

Saranan tersebut dibuatnya berikutan krisis besar yang sedang melanda kedua-dua gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

“Sebuah dasar bersama perlu dibentuk bagi kerajaan gabungan pasca-BN dan PR bagi tempoh 24-30 bulan sebelum PRU ke-14, demi mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesederhanaan,”

“Mesti membawa bersama reformasi dasar-dasar politik, ekonomi, pendidikan dan pembinaan negara, mengisytiharkan perang terhadap rasuah dan salahguna kuasa, memulihkan demokrasi, menjunjung hak asasi manusia dan mengembalikan kepada rakyat Malaysia rasa bangga menjadi rakyat Malaysia,” jelas Ketua Parlimen DAP itu.

Beliau berkata demikian ekoran spekulasi yang timbul akhir-akhir ini tentang siapa yang patut menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru dengan mengesampingkan terus kedua-dua Perdana Menteri Najib Razak dan juga timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam bekas menteri Umno, Zainuddin Maidin memberi amaran ‘tsunami Melayu’ bakal melanda Umno dalam pilihanraya umum akan datang lantaran dasar-dasar yang diluluskan oleh Perdana Menteri.

Malah bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim turut memetik nama Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon paling sesuai untuk menggantikan Najib.

Bukan Mahathir yang putuskan siapa PM

Saranan Zaid Ibrahim itu dibuat berikutan ulasan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkehendakkan pemimpin yang lebih bertanggungjawab demi kebaikan Umno.

Namun Kit Siang tegas enggan mengikut rentak Mahathir meski baru-baru ini menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat itu.

“Saya tidak fikir bahawa sesiapa pun, terutama sekali Mahathir, wajar memutuskan siapa yang patut menjadi Perdana Menteri baru selepas Najib,” ujarnya.

“Ketika saya memberitahu mahasiswa Malaysia di Iskandariah dalam lawatan Ahli-ahli Parlimen DAP ke Jordan dan Mesir bahawa saya bersedia untuk bekerjasama dengan Mahathir, saya secara spesifik merujuk kepada agenda ‘Selamatkan Malaysia’ kerana saya langsung tidak berminat dengan agenda untuk Selamatkan Umno atau Selamatkan Najib,” jelas Kit Siang. – Roketkini.com