Berita

Forum mengenang P Ramlee 9 Mei, seni dan keadilan sosial dalam filem

GEORGE TOWN, 28 APR: Penang Institute dengan kerjasama kerajaan negeri Pulau Pinang menganjurkan forum bertajuk ‘Hiburan dan kritikan: Seniman, seni dan keadilan sosial’ pada 9 Mei 2015 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Bayan baru.

Penang Institute dipetik dari laman web menyatakan forum tersebut adalah sebahagian daripada program Festival P. Ramlee 2015, bertujuan mengupas permasalahan sosial yang cuba diketengahkan oleh P Ramlee dalam filemnya.

“Seniman agung ini terkenal dengan bakatnya yang berjaya membuat penonton tidak kering gusi akibat lucunya filem beliau, tetapi dalam masa yang sama beliau juga berjaya membuat teguran atau kritikan sosial.

“Pada kali ini, kita memilih tema keadilan sosial yang terserlah dalam sebilangan filem yang dihasilkan oleh seniman agung ini.

festival-p-ramlee“Konflik kelas sosial, misalnya, muncul sama ada dalam filem komedi P Ramlee maupun filem seriusnya, selain daripada menyentuh masalah kemiskinan dalam masyarakat zaman beliau,” kenyataan Penang Institute dipetik.

Antara ahli panel yang dijemput berbicara dalam forum tersebut antaranya Dr Mahyuddin Ahmad, pelakon Melissa Saila, Hassan Muthalib dan dimudahcara oleh Dr Ngo Sheau Shi, manakala ucapan akan alu-aluan disampaikan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Penganjur memaklumkan, acara yang bermula pada jam 8 malam itu memiliki tempat duduk yang terhad, dan mereka yang berminat menyertainya digalakkan untuk membuat pendaftaran awal dengan menghubungi sekretariat penganjuran melalui [email protected].

Festival P Ramlee 2015 kini telah masuk tahun yang ketiga, bagi mengenang jasa dan karya-karya agung Tan Seri P Ramlee, yang juga anak jati Pulau Pinang.

Penang Institute, sebuah institut yang diselia kerajaan negeri berinisiatif untuk menyegarkan kembali ingatan dan mencetuskan ilham-ilham baharu generasi hari ini mengenai hasil kerja P Ramlee dan hubungannya dengan masyarakat Pulau Pinang, serta Malaysia amnya.

Untuk mengetahui maklumat lanjut berhubung program, sila klik ke pautan Penang Institute – Roketkini.com