Rencana

PRK Permatang Pauh: Nafas baru Reformasi?

Permatang Pauh menyaksikan perkembangan sejarah politik Malaysia untuk lebih 30 tahun yang lalu. Ia adalah kubu terakhir untuk Anwar Ibrahim setelah ditumbangkan dalam UMNO.

Ingatan saya masih segar. Pada 27 Ogos 2008, Anwar Ibrahim mengangkat sumpah di Dewan Rakyat sebagai ahli parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang Parlimen. Setelah 10 hari berhempas-pulas untuk aktiviti kempen pilihan raya kecil tersebut, saya agak letih dan hampir jatuh sakit. Namun sempat juga saya bergegas ke Dewan Rakyat untuk menyaksikan upacara yang bersejarah itu.

Anwar dipecat pada 2 September 1998, ditahan kemudian pada 20 September – kesemua ini berlaku di depan mata saya pada usia 21 tahun. Munculnya satu generasi yang menerima impak Reformasi – turun ke jalan raya dan menjadikan politik kerjaya sepenuh masa. Hati saya berdebar-debar, apabila saya sebagai ahli dewan menyaksikan Anwar kembali ke parlimen.

Anwar berada di tempat kedua di sebelah parti pemerintah ketika dipaksa meninggalkan parlimen pada tahun 1998. Beliau kembali untuk menempah tempat pertama di sebelah parti pembangkang pada tahun 2008. Dari 19 kerusi sahaja yang mampu dimenangi pada tahun 2004, pembangkang berjaya merampas 82 kerusi dan 49% undi popular pada tahun 2008. Cuma, kembalinya Anwar ke parlimen bukan tanda noktah kepada segala penderitaan, tetapi antara faktor untuk pemenjaraan kali kedua pada masa depan.

Anwar dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004, setelah genap 6 tahun beliau dipecat dari jawatan TPM. Saya menulis, “Peristiwa Anwar bukan kejadian yang menimpa seorang individu semata-mata. Minda dan fikrah satu generasi menerima kesan daripada peristiwa itu. Sebagai seorang anak muda yang turun ke jalan raya kerana bersimpati terhadap Anwar, lantas bangkit menuntut perubahan, tanggal 2 September 2004 mencatatkan hari yang indah, membubuhkan tanda noktah kepada babak sejarah kita yang paling gelap dan berat.”

Dalam PRU 11 pada Mac 2004, Tun Abdullah Ahmad Badawi memenangi 64% undi popular, merangkul 91% kerusi dalam Dewan Rakyat. Sokongan ini memperlihatkan bagaimana ghairahnya rakyat terhadap fenomena Perdana Menteri Baru.

Wan Azizah Wan Ismail yang turun ke gelanggang mewakili suaminya hanya mempertahankan kubu Permatang Pauh dengan lebih 500 undi popular, menjadi satu-satunya wakil rakyat Parti Keadilan.

Anwar singgah di Munich untuk rawatan dan Amerika Syarikat untuk bersyarah pada dua tahun pertama selepas dibebaskan dari penjara. Beliau hanya aktif di persada politik tempatan pada penghujung tahun 2006. Beliau mengenengahkan Agenda Ekonomi Baru pada tahun 2007 sebagai respon kepada penyelewengan Dasar Ekonomi Baru. Pendiriannya meskipun mengundang kritikan UMNO tetapi mendapat pujian dari kalangan bukan Melayu.

Pada masa yang sama, Abdullah Ahmad Badawi amat bimbang dirinya mengulangi nasib Mikhail Gorbachev, di samping takut bahawa UMNO akan kehilangan kuasa, lantas tidak menggerakkan reformasi politik dan ekonomi secara keseluruhan. Beliau terlepas peluang untuk mengubah sejarah Malaysia. Beliau berdepan dengan kebangkitan sayap kanan dalam parti, diasak pula oleh Mahathir Mohamad, dan akhirnya tidak memahat apa-apa prestasi yang menyerlah.

Mahathir mula menyerang kerajaan Abdullah sejak Jun 2005, dan serangan disasarkan terus kepada Abdullah mulai Jun 2006. Hujah sayap kanan dalam UMNO menjurus kepada kehilangan undi bukan Melayu, dan serangan Mahathir pula menyebabkan UMNO kehilangan undi Melayu.

Bagaimanapun, Anwar dilarang bertanding dalam PRU12 pada tahun 2008. Beliau hanya dibenarkan bertanding selepas 14 April 2008.

Tsunami politik pada 8 Mac 2008 mencetus perubahan bersejarah apabila parti pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga dalam parlimen, dan merampas kuasa lima kerajaan negeri. Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 1 April. Anwar menyanggah retorik “Ketuanan Melayu” oleh UMNO dengan “Ketuanan Rakyat”. Keadaan memihak kepada Pakatan Rakyat.

Pada masa yang sama, Anwar mula membincangkan idea pertukaran kerajaan pada 16 September. Mengimbas sejarah ini pada hari ini, mungkin kita boleh menuduh bahawa itu satu langkah strategi yang tersilap, tetapi jangan lupa bahawa idea ini menggarap imaginasi masyarakat Malaysia ketika itu, dan ia memberi impak yang besar kepada BN dan UMNO.

Timbulnya suara-suara dalam UMNO untuk bermuhasabah dan berubah, tetapi suara yang lebih lantang menuntut agar dominasi satu parti (UMNO) dikekalkan. Mereka cuba melakukan segala-gala untuk tidak mengiktiraf pembangkang, dan tidak melayan pembangkang secara adil.

Pak Lah berada dalam keadaan getir ketika itu. Mahathir mengumumkan untuk keluar UMNO, dan hanya akan kembali ke dalam UMNO setelah Pak Lah berundur dari jawatan PM.

Keadaan Najib tidak sebaik mana. Pada 1 Jun saya menghadiri satu sidang dialog Shangri-La berhubung isu pertahanan di Singapura. Saya sempat bersembang dengan Najib secara bersemuka untuk 10 minit. Beliau tidak kenal saya. Setelah saya perkenalkan diri sebagai ahli parlimen Bukit Bendera, lantas beliau tahu saya dari DAP. Beliau mula dengan menyebut bahawa kes Altantuya digunakan sebagai serangan peribadi untuk membunuh karakter dirinya.

Saya mengisahkan pengalaman ini kepada rakan UMNO yang saya kenal selepas itu. Untuk mereka, kegusaran Najib terserlah apabila beliau memilih tajuk ini sebagai topik perbualan dengan seorang ahli parlimen pembangkang yang baru dikenalinya. Jelas, beliau bimbang isu ini akan memberi kesan terhadap kerjaya politiknya.

Pada 4 Jun, Pak Lah menerima nasihat daripada “pakar ekonomi”-nya, menaikkan harga minyak sebanyak 30%. Rungutan rakyat mengombak, memacu momentum untuk idea 16 September oleh Anwar. Pergelutan kuasa semakin parah dalam UMNO. Satu sidang khas dipanggil di parlimen untuk membahaskan penyelarasan harga minyak pada 23 Jun. Saya masih ingat ramai ahli parlimen BN yang merungut dalam perbualan peribadi.

Pada 28 Jun, saya diundang ke satu rancangan diskusi di Astro. Saya dimaklumkan Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis dengan tuduhan bahawa Anwar meliwatnya. Kami bergegas ke hotel di Shah Alam pada lewat malam itu. Pada keesokannya, Anwar mencari perlindungan di Kedutaan Turki. Pada 14 Julai, polis menempatkan 4000 tenaga polis di Kuala Lumpur untuk menangkap Anwar.

Anwar dijadualkan untuk berdebat dengan Menteri Penerangan ketika itu, Ahmad Shabery Cheek di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 Julai. Anwar ditampilkan dengan imej negatif di televisyen sejak pemecatannya pada tahun 1998. Ini kali pertamanya Anwar tampil untuk berdebat, dengan kedudukan yang setanding dengan seorang menteri berhubung soal dasar di media arus perdana.

Setahu saya, puak konservatif dalam UMNO tidak mahu perbahasan ini dijayakan, maka Anwar perlu ditangkap sebelum perbahasan. Bagaimanapun, perbahasan ini tetap dilangsungkan dan menyaksikan bagaimana Anwar menewaskan Ahmad Shabery dalam rancangan debat itu. Ruang perbahasan di stesen televisyen ditutup hampir sepenuhnya selepas itu.

Pada 16 Julai, Anwar ditahan dalam perjalanannya ke rumah oleh pasukan polis bertopeng. Pada 27 Julai, Anwar mengumumkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil. Pada 31 Julai, ketika saya sedang menjamu selera bersama Setiausaha Agung DAP dan rakan seperjuangan di Komtar, saudara Lim Guan Eng menerima panggilan daripada Anwar, memaklumkan bahawa beliau akan bertanding di Permatang Pauh. Pada 7 Ogos, Anwar dituduh atas tuduhan liwat untuk kali kedua.

Tiga minggu selepas Anwar kembali ke parlimen, saudari Teresa Kok dan beberapa orang lagi ditangkap pada 12 September. YB Bintulu Tiong King Sing mengetuai rombongan ke Taiwan atas nama “lawatan”, untuk mengelakkan 16 September. Pada 17 September, Najib bersama Muhyiddin bertemu dengan Abdullah setelah diasak Mahathir. Abdullah menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib. Pada 25 September, Najib dan Muhyiddin mengambil selangkah ke depan lagi untuk bertemu dengan Pak Lah, dan akhirnya Abdullah mengumumkan bahawa dirinya akan berundur pada tahun 2009, lantas menamatkan pergelutan kuasa dalam UMNO.

Anwar dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012. Keputusan ini ditolak Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 setelah Anwar mengumumkan Langkah Kajang. 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan untuk menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar.

Beberapa hari sebelum keputusan Mahkamah Tinggi, Anwar berkata dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, bahawa dirinya memutuskan untuk terus berada di Malaysia sungguhpun beberapa orang pemimpin negara asing mencadangkan agar beliau mencari perlindungan di luar negeri. Pada keesokan 7 Mac 2014, saya tanya kepada beliau, sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk melarikan diri ke luar negeri. Beliau kata tidak. Beberapa perbincangan seumpama ini diadakan selepas itu, dan beliau agak jelas bahawa beliau tidak akan berganjak. Bagai seorang watak tragis, beliau menggalas segala kesengsaraan yang disebabkan sistem ini dengan susuk tubuhnya.

Anwar menyertai UMNO pada tahun 1982, merampas kerusi Permatang Pauh yang dimenangi PAS pada 1978. Beliau hampir mencapai tangga PM sepanjang 16 tahun dalam UMNO. Sepanjang tempoh 17 tahun selepas 1998, sama ada Anwar berada dalam penjara, atau berdepan dengan satu demi satu perbicaraan yang menelan masa.

Pemenjaraan Anwar Ibrahim bukan kurungan ke atas seorang individu, tetapi satu negara dalam penjara. Anwar dijatuhkan hukuman penjara kerana beliau pesaing yang paling mampu menggugat kedudukan UMNO. Menghapuskan Anwar, memecah belahkan Pakatan Rakyat – selagi tiada calon PM alternatif, selagi tiada gabungan parti politik alternatif, maka Najib tidak akan terancam.

Saya pernah menyangka bahawa negara kita telah terbebas dari beban sejarah yang berat, menamatkan babak yang paling gelap ini. Pada tahun 2015, negara ini tetap dalam babak yang gelap. Dengan hati yang ikhlas, saya berharap pengundi Permatang Pauh memberi nafas baru kepada perjuangan Reformasi. – Roketkini.com