Berita

BN tak bertanggungjawab guna perkauman jelas GST – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mengecam kenyataan berbaur perkauman Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie bagi menjelaskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Teresa berkata, pemimpin MCA itu mendakwa bahawa orang Cina tidak menentang GST kerana masyarakat itu mempunyai pendapatan tertinggi di negara ini, dan 90 peratus hasil cukai datang dari mereka.

“Jelas sekali bahawa Heng bermain isu perkauman dalam usaha mewajarkan pelaksanaan GST.

“Ini bukan sahaja menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab, tetapi membuktikan kerajaan BN ditekan akibat GST hingga tidak mampu menerangkannya kepada rakyat,” kata Teresa.

Sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan dilaporkan dengan nada serupa ketika berceramah kepada orang Melayu di Permatang Pauh kononnya GST baik kerana orang Cina tidak boleh mengelak dari membayar cukai tersebut selepas pelaksanannya.

“Saya ingin bertanya adakah Heng setuju cara perkauman Ahmad Maslan menerangkan GST kepada khalayak Melayu?

“Saya juga mahu tanya adakah Heng berani gunakan pendekatan perkaumannya kepada khalayak Melayu pula?

“Saya tidak setuju apa-apa bentuk perkauman dimainkan dalam isu GST.

“Sepatutnya Heng menjelaskan isu sebenar tentang masyarakat Cina bandar yang terbeban dengan GST sehingga terpaksa keluarkan simpanan KWSP mereka.

“Dia harus tahu GST memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat Cina juga berhak dan punya alasan kukuh membantah GST,”tegas Teresa lagi. – Roketkini.com