Berita

DAP sokong kempen Bersih ‘Ops Hitam 505’, seru ahli berpakaian hitam esok

KUALA LUMPUR, 4 MEI: DAP menyeru ahli parti dan penyokong di seluruh negara untuk menyokong kempen Bersih ‘Ops Black 505’ dengan berpakaian hitam esok sebagai bantahan terhadap tangkapan peserta perhimpunan Hari 1 Mei Batal GST.

Selain tanda setiakawan kepada 23 tahanan himpunan #BatalGST 1 Mei lalu, ‘Ops Hitam 505’ adalah bagi memberi tekanan kepada kerajaan untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR.

‘Ops Hitam 505’ juga adalah bagi memberi tekanan (kepada kerajaan) untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC),” kata Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan.

Ujarnya, ‘Ops Hitam 505’ esok adalah peringatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa rakyat Malaysia telah dinafikan hak, dan Pakatan Rakyat yang sepatutnya menjadi kerajaan berdasarkan sokongan 52% pengundi, dua tahun lalu.

“Sepatutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi Perdana Menteri kita dua tahun yang lalu dengan kepimpinan kukuh di Putrajaya, bukannya menderita sebagai banduan di penjara Sungai Buloh.

“Kita perlu mengingatkan Najib bahawa dia bukan sahaja Perdana Menteri minoriti yang mengetuai kerajaan minoriti, bahkan dia juga gagal memimpin setiap aspek urus tadbir sepanjang dua tahun yang lalu,” kata Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban.

Tambah Anthony, Najib bukan sahaja hilang keyakinan daripada majoriti rakyat Malaysia, malahan hilang sokongan daripada aka umbi UMNO.

“Beliau perlu melakukan perkara yang wajar, iaitu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memberi semula mandat kepada rakyat dengan membubarkan Parlimen.

“Mungkin ini sahaja cara terbaik untuknya membawa hala tuju negara ini ke arah yang betul,” ujar Anthony. Roketkini.com