Rencana

Perutusan Hari Wesak Ketua Menteri Pulau Pinang

Sewaktu kehangatan perayaan Hari Wesak masih lagi terasa, adalah sangat penting untuk kita perhatikan tema yang diambil Persatuan Buddha Malaysia berbunyi “Satukan rakyat harmoni, pertahan negara rakyat dan Buddha”.

Karakter penganut Buddha yang menolak keganasan dan kebencian mestilah kita luaskan kepada satu amalan bagi menyelamatkan Malaysia dari ektremis agama dan perkauman yang sanggup membuli, mengancam bahkan merasuah bagi menghapuskan kepelbagaian dan kesederhanaan yang telah lama Malaysia nikmati.

Akhir-akhir ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan tindaan barbarik dan ektremis agama diketuai pimpinan UMNO Selangor yang juga abang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar apabila mereka mendesak pihak gereja menurunkan salib.

Apa yang lebih mengejutkan adalah sikap tidak bertanggungjawab dan tidak bertamadun apapila perbuatan itu dibiarkan tanpa apa-apa hukuman. Sebelum kejadian itu, Presiden Perkasa Ibrahim Ali turut dilepaskan tanpa apa-apa tindakan ketika meminta Injil bahasa Melayu dibakar, dan tindakan itu dipertahankan menteri Barisan Nasional dan UMNO.

Episod-episod perbuatan provokatif ektremis agama terhadap non muslim telah menyebabkan nama baik agama Islam dicalarkan.

Dalam masa yang sama, wujud juga golongan perkauman dari kalangan MCA dan UMNO yang sentiasa mengapi-apikan kebencian, dan bahkan keganasan. Menteri-menteri UMNO telah menuding kesalahan terhadap masyarakat Cina bagi semua kegagalan ekonomi walaupun semua orang tahu bahawa dasar-dasar, tadbir urus yang kelam-kabut dan skandal kewangan dihadapi berpunca dari mereka.

Ia termasuklah skandal RM 42 bilion hutang yang ditanggung 1MDB dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan harga barang mencanak naik.

Dalam pada itu, Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie mengatakan orang Cina dalam negara kita kononnya tidak membantah GST kerana sistem itu membuatkan orang Melayu akan membayar lebih cukai. Ini adalah satu kenyataan mengarut dan tidak bertanggungjawab kerana GST seperti yang diketahui memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengecualikan apa-apa agama atau kaum.

Permainan politik yang didasari perkauman dan ekstremis agama ini sangat merbahaya dan mengancam pembinaan negara, kestabilan dan perpaduan nasional.

Ini kerana ia hanya mencambah syak wasangka dari persefahaman antara sesama warga, menumbuhkan sifat saling tuduh-menuduh dari hormat-menghormati, dan menebalkan ketegangan berbanding mencipta keharmonian.

Atas sebab ini, para penganut agama Buddha mesti sentiasa mengamalkan bukan sahaja amalan baik yang mempromosi keamanan dan keharmonian bahkan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memperkukuh kemajmukan dan kesederhanaan demi menghadapi golongan ekstremis agama dan perkauman.

Lim Guan Eng adalah Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga Setiausaha Agung DAP