Berita

Pusat hanya umum, namun gagal sedia rumah mampu milik di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 4 MEI: Kerajaan Persekutuan hanya membuat pengumuman demi pengumuman kononnya perumahan mampu-milik di bawah projek Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) akan dibina di Pulau Pinang.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Negeri Jagdeep Singh Deo berkata sehingga hari ini, tidak ada satu pun permohonan secara rasmi dikemukakan oleh Pusat kepada kerajaan negeri bagi tujuan tersebut.

“Kerajaan negeri sudah pun merancang untuk menyediakan sebanyak 22,512 unit perumahan mampu-milik untuk warga Pulau Pinang di ke semua lima daerah di negeri ini.

“Malahan, daripada rancangan tersebut, tiga projek telah pun dimulakan (‘commencement-of-work’), iaitu Fasa 1 Bandar Cassia di Seberang Perai, Teluk Kumbar dan SP Chelliah di sebelah Pulau,” kata Jagdeep dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tiga projek tersebut telah bermula pada Disember 2013, Julai 2014 dan Disember 2014 dan dijangka siap pada tahun 2016, 2017 dan 2018.

Jagdeep turut menyelar tuduhan Pusat dan agensinya di bawah PR1MA, seperti JKP dan PERDA yang membuat tohmahan bahawa kerajaan Pulau Pinang sengaja melewatkan kelulusan permohonan untuk membina 9,444 unit rumah mampu-milik.

“Sekiranya agensi kerajaan Persekutuan sebenarnya mempunyai niat tersebut, kerajaan negeri sudah pasti tiada halangan langsung terhadap permohonan mereka.

“Malahan, pihak kerajaan negeri Pulau Pinang mengalu-alukannya,” ujar Jagdeep.

Namun kata Jagdeep, beliau kecewa apabila mendapati permohonan oleh agensi Persekutuan adalah untuk unit perumahan yang mencecah RM1.8 juta di bahagian Pulau dan RM800,000 di bahagian Seberang Perai.

“Apakah harga RM1.8 juta dan RM800,000 di bahagian Pulau dan Seberang ini, adalah merupakan perumahan mampu-milik a-la BN?

“Ini jauh berbeza dengan perumahan mampu-milik disediakan kerajaan Pulau Pinang, merangkumi unit perumahan berharga RM42,000.00 sehingga RM400,000, yang benar-benar mampu dimiliki oleh warga Pulau Pinang,” ujar Jagdeep. – Roketkini.com