Rencana

Membina negara bangsa Malaysia

Mencapai sebuah negara bangsa adalah idaman setiap pemimpin yang sentiasa mendahulukan rakyat dan negaranya, melebihi dirinya mahupun parti yang diwakilinya. Hajat besar ini sering kali dilihat sebagai sebuah usaha halus menghapuskan satu bangsa lain, malah lebih tidak masuk akal lagi ialah, ianya dianggap sebagai satu usaha radikal penghapusan etnik asal yang lebih awal mendiami negara tersebut.

Mengungguli negara bangsa bukanlah sebagai takrifan untuk melupai asal-usul bangsa sendiri dan mengangkat satu tafsiran baru mewakili satu bangsa dalam sesebuah negara. Ia adalah persepsi salah yang sekian lama telah dijaja oleh rejim pemerintah, dan berjaya dimanipulasi dalam siri-siri pilihanraya umum negara.

Sekiranya takrifan bangsa Indonesia terpakai; yakni dorongan semangat nasionalisme yang tinggi sewaktu kumpulan-kumpulan masyarakat dari pelbagai kedaerahan yang menghadapi masalah yang sama semasa berada dibawah kekuasaan imperialisme Belanda – lalu, sebuah negara bangsa di Malaysia sudah sewajarnya telah lama wujud. Justeru yang pertama, kita seharusnya menjadi agen mewakili idea sebuah negara bangsa ini. Perjuangan kita untuk mempercayai kesatuan masyarakat dibawah sebuah negara bangsa adalah penyelesaian paling tuntas untuk negara, harus dimasyhurkan.

Namun usaha ini akan dilihat sebagai sebuah rancangan halus untuk melaksanakan pelan jahat seperti yang telah digambarkan di dalam awal tulisan ini tadi. Tetapi jika kita sedar dengan persepsi negatif ini dan sedikit cubaan untuk menjayakan idea ini tidak pula meringankan berat persepsi tersebut,lalu baik kita majukannya terus. Jangan toleh ke belakang lagi.

DAP mahu mengubah persepsi

Bagaikan sebuah misi mustahil apabila DAP mahu mengubah persepsi ini. Malah Martin Luther King Jr. yang begitu bersemangat menyampai pidato “I Have A Dream” di hadapan lautan manusia di Lincoln Memorial, Washington pun tahu, misinya dalam intipati ucapannya pada tahun 1963 itu juga adalah satu misi yang mustahil.

Sebagai sebuah parti yang mendepani massa dengan prinsip kenegaraannya, idea sebuah negara bangsa tidak boleh sesekali dipandang ringan. Ia barangkali tidak mampu menyatukan rakyat Malaysia di bawah satu pegangan kesetiaan pada negara secara keseluruhan, namun ia sekurang-kurangnya boleh menyelamatkan negara daripada perpecahan akibat kerakusan rejim yang menjaja sentimen perkauman.

Perpecahan berdasarkan bangsa

Strategi paling ampuh buat rejim ialah ‘pecah dan perintah’. Pegangan ini akan kekal untuk seribu tahun lagi jika mereka diberi peluang lagi dan lagi untuk mentadbir Malaysia. Bagaimana mereka melakukannya? Kita tahu bagaimana dan dengan liciknya mereka sentiasa menang untuk mengulanginya lagi dan lagi.

Malah mereka diangkat pula sebagai adiwira dalam sekuel perjuangan atas nama bangsa yang kemudiannya barulah disusuli untuk agama dan yang terakhir barulah untuk negara. Walhal negara itu terbentuk di dalamnya kumpulan rakyat dengan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang wajar mendapat kesaksamaan hak, peluang, keadilan sosial serta keseimbangan ekonomi.

Mengurus persepsi dan mendepaninya

Membina sebuah negara bangsa acuan Malaysia tentu sekali jauh berbeda dengan persepsi awam mengenai pembentukannya. Ia tidak dapat lari daripada mengekalkan status bangsa, agama, budaya atau bahasa yang telah sebati ke atas sesuatu bangsa itu. Malah itulah nadi dan takrifan sesuatu bangsa tersebut. Menghapuskannya bererti menghapuskan identiti bangsa itu sendiri.

Yang kita akan raikan dalam idea negara bangsa ini ialah apabila terkandung di dalamnya keindahan kepelbagaian yang diraikan dengan sikap toleransi yang tinggi. Menghormati kepelbagaian dan yang paling utama adalah mengunjurkan simbiosis yang sihat dalam kalangan kepelbagaian bangsa tersebut. Malah, setiap seorang dari kita, akan dikenali sebagai rakyat Malaysia seluhurnya, berbanding dengan takrifan bangsa si polan bangsa si polan sekarang ini.

Kerangka ini dilihat terlalu ideal dan kelihatannya hampir mustahil untuk dicapai. Malah idea ini pasti akan diangkat sebagai dosa besar dan ancaman yang wajib ditangani segera. Persepsi ini wajar diuruskan dengan strategi-strategi yang tertentu dan ianya perlulah berkesan.

Mungkin dengan strategi meletakkan pimpinan-pemimpin DAP di tengah-tengah masyarakat dari kalangan mereka yang terbaik, yang berkaliber dengan idea-ideanya, yang boleh diteladani peribadinya dan yang paling penting pemimpin tersebut mestilah boleh diterima oleh semua bangsa.

Kita percaya misi murni ini boleh direalisasikan – biarpun hasilnya terpaksa menanti separuh abad lagi untuk dituai. Seandainya idea ini boleh berjaya suatu hari nanti, bukankah berbaloi jika kita mulakannya hari ini? – Roketkini.com