Berita

Permatang Pauh penerus harapan demi menyelamatkan Malaysia

PERMATANG PAUH, 5 MEI: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyeru pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh untuk terus mengetuai perjuangan rakyat bagi mencapai sasaran yang gagal dicapai dalam PRU ke-13 dua tahun lalu dengan memenangkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Khamis ini di PRK Permatang Pauh, pengundi mesti terus mengetuai perjuangan rakyat untuk mencapai impian dan harapan yang gagal dicapai dalam PRU ke-13 dua tahun lalu iaitu membawa perubahan melalui Kerajaan Persekutuan Baru yang Perdana Menterinya Anwar Ibrahim pada PRU ke-14 nanti.

“Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara demokrasi yang normal kecuali jika kita mampu mewujudkan peralihan kuasa di peringkat persekutuan secara aman melalui proses pilihanraya, daripada menganggapnya sebagai satu masalah negara.

“Tidak mungkin akan ada perubahan bermakna dari segi politik, sosio ekonomi, pendidikan dan kesemua dasar pembinaan negara kecuali jika berlakunya perubahan politik,” katanya dalam ucapan di ceramah PRK Permatang Pauh, semalam.

Namun kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu, pergerakan ke arah perubahan mestilah berasaskan formula untuk menyatu serta menggerakkan rakyat tanpa mengira kaum mahupun agama.

“Masa depan Malaysia hanya boleh dimajukan dengan kempen politik yang inklusif, mempunyai letak duduk bermaruah bagi semua rakyat yang bernaung di bawah lembayung negara,” ujarnya.

Kit Siang turut menyarankan pengundi Permatang Pauh untuk mempertimbangkan lima isu utama yang beliau gariskan pada hari penamaan calon lalu ketika mereka mengundi Wan Azizah, Khamis nanti.

“Lima isu utama mesti menjadi pertimbangan paling penting adalah sebagai pungutan suara yang jelas dan tanpa sangsi menentang penganiayaan berterusan terhadap Anwar, menolak pelaksanaan cukai GST dan mengecam skandal RM42 bilion 1MDB.

“Mengundilah untuk mengecam penindasan yang semakin menjadi-jadi, terkini ialah penangkapan beramai-ramai selepas perhimpunan aman May Day anti-GST di Kuala Lumpur.

“Selamatkan Malaysia daripada kegagalan dasar-dasar pembinaan negara Najib yang berkesudahan dengan polarisasi kaum dan agama paling buruk sepanjang tempoh perkhidmatan beliau,” seru beliau. – Roketkini.com