Berita

Rahman Dahlan terus menikus tidak mahu jumpa Ketua Menteri P.Pinang

PETALING JAYA, 5 MEI: Tidak berjaya menjelaskan pembohongannya sendiri, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan hanya mampu untuk memberi alasan bagi terus mengelak daripada berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam kenyataannya hari ini membidas Rahman Dahlan yang masih tidak menjawab persoalan dibangkitkannya mengenai JKP Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Perumahan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), dua buah agensi Pusat yang didakwa cuba mengaut keuntungan melampau sehingga RM 149 juta dalam cadangan projek rumah mampu milik.

Hal ini dibangkitkan Tony semalam berikutan laporan media mengatakan Rahman tidak mahu bersemuka dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagi membincangkan perkara itu dengan alasan bahawa Setiausaha Agung DAP itu seorang yang pembengis dan pemarah.

“Rahman Dahlan sepatutnya setuju saja berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi selesaikan isu kepentingan rakyat, tapi dia pilih untuk mengelak dengan memberikan jawapan pengecut dan konon sarkastiknya,” jelas Tony.

Rahman sebelum ini diselar atas tuduhannya terhadap Kerajaan Pulau Pinang yang didakwa mengamalkan ‘politik dendam’ dan cuba mensabotaj Kerajaan Pusat yang kononnya tidak mahu meluluskan projek rumah mampu milik kelolaan Kerajaan Pusat.

Namun, ternyata cadangan projek yang dikendalikan agensi Kementerian Perumahan JKP Sdn Bhd dan PERDA tidak menguntungkan rakyat apabila cadangan rumah mampu milik itu sebenarnya tidak mampu dimiliki rakyat Pulau Pinang.

Harga rumah yang dicadangkan mencecah RM 1.8 juta di kawasan pulau dan RM 800,000 di kawasan Seberang Perai.

“Bak kata pepatah Melayu, ‘berani kerana benar’. Menteri ini tidak berani bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang kerana dia telah berbohong kepada orang ramai,” tambah Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP sambil menambah bahawa pihak Kerajaan Negeri bersedia bertemu beliau pada bila-bila masa.

Rahman malah dicabar untuk mencontohi dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang memperuntukkan sejumlah RM 500 juta bagi membina 22,512 rumah mampu milik di negeri tersebut tanpa sebarang niat untuk mendapatkan keuntungan. – Roketkini.com