Berita

Undi Kak Wan, tolak GST

PERMATANG PAUH, 6 MEI: DAP menyeru semua pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh untuk keluar beramai-ramai memberi undi kepada calon PKR Datuk Wan Azizah Wan Ismail, sekaligus menyatakan penolakan berterusan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pengarah Pilihan Raya Kecil DAP Steven Sim Chee Keong berkata, pengundi Permatang Pauh perlu mengikut contoh rakyat di Rompin yang telah bersuara menolak GST apabila berjaya mengurangkan peratus kemenangan UMNO di sana daripada 65.5 peratus pada PRU ke-13 menjadi 61.2 peratus.

Namun menurut Steven, Permatang Pauh mempunyai kelebihan berbanding di Rompin yang merupakan antara kubu kuat UMNO dan hampir mustahil untuk ditewaskan.

“Di Rompin, hampir tidak mungkin mereka mampu menghantar seorang Ahli Parlimen yang berani lawan rejim ke Parlimen.

“Di Permatang Pauh, pengundi berpeluang menghantar seorang Ahli Parlimen ke dalam Dewan Rakyat bagi meneruskan perjuangan Reformasi dan melawan rejim termasuk cukai menindas rakyat iaitu GST,” kata Steven dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu juga menyuarakan kebimbangannya jika peratusan keluar mengundi menyusut kepada 68 peratus, yang sekaligus mungkin menyebabkan Wan Azizah tewas.

Katanya, 68 peratus adalah jumlah paling rendah dalam masa 16 tahun selepas lima kali pilihan raya sejak tahun 1999.

“Jika sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) masih sekuat PRU ke-13 lalu, maka walaupun peratusan undi Kak Wan akan menurun, namun sekurang-kurangnya undi majoriti beliau masih tinggi iaitu lebih kurang 9,000 undi.

“Namun kita perlu ingat bahawa pada tahun 2004, sokongan kepada PKR merudum kepada hanya 49.8 peratus,” ujarnya.

Menurut Steven antara sebab undi PKR berkurang pada 2004 adalah kelemahan gabungan pembangkang terutamanya ekoran pertelingkahan dalam isu negara Islam dan hudud pada waktu itu.

Jelasnya, UMNO-BN ketika itu mengambil kesempatan daripada pergolakan tersebut dengan mengemukakan alternatif ‘Islam Hadhari’ yang dilihat sebagai lebih moderat dan universal.

Justeru, beliau amat berharap semua pengundi termasuk yang berada di luar Permatang Pauh untuk pulang beramai-ramai mengundi dan memberi kemenangan kepada Kak Wan pada 7 Mei ini. – Roketkini.com