Rencana

Antara selfie Hasrul dan dodol UiTM

Mula-mula, apabila terdengar daripada berita tentang seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), kita menyangka mungkin pemuda itu sudah melakukan kesalahan berat.

Membunuh kekasih, misalnya. Atau mungkin ada mana-mana gadis sudah ternoda akibat kerakusan pemuda berkenaan. Atau sudah ada seseorang tergantung lehernya di pokok akibat terpedaya dengan janji manisnya.

Namun bukan itu yang berlaku.

Dengan ketawa yang terpaksa ditahan-tahan, kita akur penuntut itu dihukum kerana melakukan selfie tergempar ketika dia mengambil skrol diploma di atas pentas konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Apalah yang nak dikejutkan sangat oleh UiTM, gamaknya? Tambahan pula penuntut tersebut, Muhammad Hasrul Haris menghabiskan masanya di IPT berkenaan kerana mengikuti pengajian fotografi pun.

sahol

Lantas, Naib Canselor UiTM yang bertuah itu, Prof Datuk Dr Sahol  Hamid(gambar kiri) membuat ‘penghakiman’ segera. Diploma Muhammad Hasrul  digantung sehingga pemuda itu membuat permohonan maaf atas  ‘keterlanjurannya’.

Bagi Sahol, perbuatan Muhammad Hasrul itu memalukan UiTM dan  tidak menghormati majlis serta pensyarah.

Tidakkah kita pelik mengapa hal seremeh ini menjadi sangat besar kepada profesor berambut tebal tersebut. Padahal di universiti lain – sama ada terkemuka di dunia atau tidak – amalan berselfie ini bukanlah dosa yang tak terampun.

Malah di Internet kita boleh saja melihat pelbagai ragam siswa dan siswa ketika mereka mengambil ijazah masing-masing.

Lagi pun konvokesyen adalah detik seseorang meraikan pencapaiannya selepas sekian lama mereka bergelut dengan buku, pen, nota dan kerenah pensyarah!

Ia adalah budaya semasa walaupun mungkin UiTM bercita-cita besar menjadi tempoh terampuh mengekang budaya berkenaan.

Perlu diingat, budaya itu subjektif sifatnya dan dinamik susuknya. Ia tidak boleh kekal dalam bentuk khusus untuk semua zaman. Justeru kerana itu ada ramai antara kita bertali leher ke hulu dan ke hilir walaupun Melayu dikhabarkan pernah bertengkolok dan bersampin songket suatu ketika dulu.

Kenapa hal seremeh itu perlu dihukum dengan sekejam itu?

Bukankah UiTM ada isu lain yang lebih perlu difikirkan? Misalnya mencari jalan mengangkat martabat IPT berkenaan menjadi lebih dihormati. Usahlah terlalu bermimpi menjadi antara 10 IPT terbaik di dunia.dodol

Cukup kalau sekadar menjadi antara IPT awam yang tidak perlu menghabiskan masa membancuh serta mengacau dodol hanya semata-mata untuk mencatat nama dalam Malaysia Book of Records. Ya, bukan buku rekod Guinness pun!

Kita mahu juga dengar daripada Sahol apakah perancangan UiTM untuk mempertingkatkan kualiti universiti itu. – Roketkini.com