Rencana

Politik merit lawan politik etnosentrik

Mengekalkan amalan berpolitik berasaskan kaum adalah satu tragedi. Malah, apabila idea ini kembali dibahaskan oleh menteri yang pernah diangkat dengan pelbagai gelaran yang lunak-lunak sebelum beliau dilantik jadi menteri, ia tambah meloyakan.

Kelakar bercampur seram, kata guruku. Beliau kini kelihatan tercungap-cungap dibungkam dengan acuan menteri-menteri Umno setelah diperagakan dengan gayanya di dalam kabinet kerajaan Malaysia – kabinet paling lemah yang pernah kita saksikan dalam sejarah.

Akhirnya nafas dan ideanya sudah Umnoisme. Di saat kita berhati-hati merenung kembali tragedi yang menggulung sejarah rusuhan kaum pada 13 Mei, 46 tahun lepas, sedarlah kita betapa mereka ini masih gagal memahami keperluan untuk menghapuskan sistem politik yang bersifatkan pemisahan kaum ini.

Ia adalah perkauman walau apa jua istilah baru yang cuba dipasarkan mereka. Dan di kala anak muda yang baru berjinak-jinak mempamerkan kecenderungan berpolitik, malangnya mereka kini diajar pula satu langkah ke belakang dengan sistem tinggalan penjajah ini.

Pakatan Rakyat telah buktikan

Undi popular yang dimenangi Pakatan Rakyat sebanyak 52% semasa PRU 13 yang lepas telah memberi petunjuk; pengundi dan pembayar cukai mula memahami perlahan-lahan yang mereka boleh memilih pemimpin yang mereka fikir layak untuk mewaklili mereka secara merit melalui demokrasi.

Mereka tidak perlukan kaum tertentu untuk menjadi wakil, walaupun dari bangsa mereka sendiri. Kuota untuk mengisi kepimpinan berasaskan ras ini sudah lapuk dan akan dilihat ketinggalan zaman. Anak muda zaman ini pun tidak mahu dilihat dengan kecenderungan begini.

Bagi mereka, memilih pemimpin berasaskan bangsa bukanlah sesuatu yang cool.

Malah,jika dilihat PRU 13 yang lepas, pemimpin ini dipilih berdasarkan kelayakan dan kemampuan untuk mewakili suara serta kehendak rakyat yang mengundi, dan bukannya atas warna kulit mahupun agama kepercayaan. Ini dibuktikan dengan senarai panjang pemimpin muda dari PR yang menang dan ada yang kembali mempertahankan kemenangan mereka dengan majoriti yang lebih tinggi. Mereka terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan dan bangsa.

Mereka diundi bukan atas sebab bangsa. Mereka dipilih pengundi atas kemampuan mereka.

Syarat merit untuk memimpin

Apa yang selalu ditakuti sesetengah orang Melayu adalah apabila merit dijadikan syarat untuk mereka dipilih menjadi pemimpin. Jika anda bagus, anda tetap akan bagus di mana-mana sahaja dan di depan sesiapa saja.

Prinsip ini menjadi hantu jerangkong di siang hari dalam parti kerajaan. Mereka sangat perlukan’mantera’ ini sebagai pil antikemurungan melawan isu demi isu yang didedahkan oleh PR.

Politikus berasaskan kaum perlukan sistem politik berasaskan kuota bangsa untuk kekal berkuasa. Mereka tahu bagaimana untuk kekal di atas dan mereka juga tahu bagaimana mereka boleh diturunkan ke bawah oleh rakyat.

Memerintah mengikut komposisi kaum adalah taktik paling ampuh untuk mereka setakat ini. Justeru, bagi mereka sistem merit mesti ditolak sebelum ianya dilahirkan pun.

Merit adalah sistem bukan berasaskan sesuatu kuota. Jika piawaian menjadi pemimpin gagal dipenuhi,kita harus belajar menerima hakikat seseorang pemimpin boleh diangkat – tanpa mengambil kira aspek bangsa – untuk memimpin jika dia berkelayakan.

Tidak ada apa yang perlu ditakuti kerana sebelum dia diangkat, kita sudah pasti melihat kemampuannya untuk memperjuangkan kepentingan suara rakyat yang berkenaan.

Pada masa sama, kita jangan pula takut ditolak jika kita sedar setakat mana kemampuan kita.

Bukankah negara dan kemakmuran rakyat menjadi keutamaan bersama? Namun begitu, hakikat yang jauh tersirat yang mesti dihadam adalah,kita juga wajib meyakini kemampuan sendiri jika menawarkan diri mahu memimpin.

Kedua-dua sifat ini – punyai merit dan menerima hakikat – adalah ciri-ciri asas membina bangsa dan negara maju serta berdaya saing. – Roketkini.com