Berita

DAP mahu ‘penipu’ disingkir dari 1MDB

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Presiden 1MDB, Arul Kandasamy layak dipecat segera kerana bertindak menipu rakyat mengenai kewujudan wang negara bernilai RM4.96 bilion di Singapura.

Atas ‘dosa’ itu DAP berpendapat ada keperluan mendesak untuk Arul disingkirkan daripada jawatannya serta-merta.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, kegagalan memecat Arul yang juga Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB hanya akan terus mencacatkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib RAzak dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

“Jika Arul terus diizin memimpin 1MDB, ia akan menghalang usaha kita mencari kebenaran dan dalang yang menyebabkan lebih banyak kerugian kepada syarikat itu,” katanya hari ini.

Najib dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Tony di Dewan Rakyat semalam memaklumkan aset 1MDB yang disimpan di sebuah bank di Singapura bukannya berbentuk tunai.

Ia ternyata bercanggah dengan kenyataan Najib pada 10 Mac lalu yang mendakwa wang 1MDB bernilai RM3.96 bilion itu disimpan di Bank BSI Singapura.

tony-puaTony (gambar) yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menegaskan, Arul ternyata melindungi transaksi mencurigakan dalam 1MDB dan terus menipu dengan tidak menghentikan kebocoran syarikat tersebut.

Sebagai contoh, kata Tony, Arul pada 13 Januari lalu mendakwa telah menebus semua pelaburan berjumlah AS$2.318 bilion yang dilaburkan 1MDB di Kepulauan Cayman.

Jelasnya, penebusan itu bermaksud 1MDB sudah menjual pelaburannya di Kepulauan Cayman dan wang tersebut telah diterima 1MDB.

“Arul sangat yakin mengenai perkara itu dalam satu wawancara bersama Singapore Busines Times yang diterbitkan pada 7 Februari.

“Beliau mengumumkan dana berjumlah RM3.96 bilion itu tidak di bawa balik ke Malaysia tapi dalam bentuk bon dengan bayaran faedah hampir AS$400 juta setahun,” ujarnya.

Baca kenyataan berkaitan daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin di sini. – Roketkini.com