Berita

Parlimen bukan milik peribadi Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Parlimen Malaysia adalah milik rakyat, bukan milik peribadi Menteri hal ehwal parlimen Datuk Shahidan Kassim, kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

“Adakah Shahidan merasakan parlimen itu milik peribadi beliau atau mana-mana anggota keluarganya?

“Beliau tidak berhak merompak dan menafikan hak pengundi untuk tahu bagaimana Ahli Parlimen mereka berfungsi dan mengundi di parlimen. Ini Dewan Rakyat, bukan ‘Dewan Shahidan’,” katanya dalam kenyataan.

Lip Eng berkata demikian mengulas jawapan bertulis Shahidan semalam yang menyatakan bahawa prosedur sedia ada dalam proses pengundian sudah memadai.

Kata Shahidan, keputusan undi belah bahagian cukup sekadar diedar kepada anggota parlimen dan tidak perlu didedahkan kepada umum.

Lip Eng turut mencabar Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk menegur tindakan Shahidan.

“Kepada Speaker Dewan Rakyat yang tidak jadi letak jawatan, adakah beliau bersetuju dengan Shahidan?

“Jika tidak, Speaker patut menggunakan mandatnya sebagai pengerusi mesyuarat untuk menegur Shahidan supaya tidak cuba masuk campur dalam urusan aturan Dewan,” ujarnya. -Roketkini.com