Berita

RMK-11 tak bentang jumlah pembinaan prasarana awam

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membentangkan jumlah prasarana awam dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11), kata Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming.

Ujarnya, rakyat Malaysia dalam kegelapan maklumat apabila tidak mengetahui bilangan dan lokasi hospital baru, sekolah, universiti, institusi pengajian dan prasarana awam yang akan dibina di bawah RMK-11.

“Malangnya, ia tidak disenaraikan,” kata Kian Ming dalam kenyataan semalam.

Beliau yang juga jurucakap Kesihatan dan Alam Sekitar DAP berkata, rancangan perbelanjaan awam di negara ini wajar diumumkan secara jujur, berserta jangkaan kos, memandangkan berlaku ketirisan berulang kali.

Tambahan pula, katanya, salah satu cabaran ekonomi yang dihadapi negara sepanjang 2015 dan 2016 adalah kesan penurunan harga minyak dan gas.

“Penurunan harga minyak yang tidak terjangka di bawah paras AS$40 setong pada akhir 2014, kemudiannya memaksa perdana menteri mengumumkan beberapa semakan perbelanjaan.

GST_naik

(Impak GST sangat membebankan rakyat miskin dan sederhana)

“Dengan jangkaan harga berlegar di bawah AS$100 setong akibat peningkatan pengeluaran di Amerika Syarikat, hasil kerajaan yang berpunca dari sumber berkaitan minyak – seperti cukai petroleum, cukai pendapatan dan dividen khas daripada Petronas dijangka menurun,” ujarnya.

Justeru kata Kian Ming, tanpa semakan perbelanjaan jangka panjang, dalam masa sama tanpa peningkatan hasil selepas pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), rancangan menghapuskan belanjawan defisit kepada nisbah KDNK kurang 45% menjelang 2020 tidak realistik.

“Jika perbelanjaan kerajaan tidak diselaraskan bagi menghadapi realiti baru ekonomi berikutan harga minyak dan gas yang rendah, bagaiamana pula agaknya dengan aspek-aspek lain-lain di dalam pelan (RMK-11) ini?” soal Kian Ming. – Roketkini.com