Berita, Rencana

Sentuhan kecundang Panglima Bugis di ranah Minang

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengungkapkan falsafah Bugis dalam satu majlis di Sabah baru-baru ini, ia menimbulkan beberapa persoalan di kepala saya.

Adapun persoalan yang terpacul keluar bersama ungkapan tersebut bukanlah dari segi gesture bertahan Najib terhadap serangan politik bertubi-tubi mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya dari segi pemilihan ‘perisai’ yang digunakannya, iaitu warisan dari leluhurnya sendiri yang telah lama dilupakan – bangsa Bugis.

Menurut sejarah, orang Bugis datang ke Tanah Melayu seawal 1667 apabila tanah Makasar jatuh ke tangan Belanda. Namun, peradaban mereka wujud jauh lebih awal dengan kemunculan kerajaan Luwu’ yang menguasai Sungai Cenrana pada akhir abad ke-15.

Sebaik tiba di Tanah Melayu, mereka tidak mengambil masa terlalu lama untuk campur tangan dalam politik di negeri Melayu. Pintu masuk mereka ke rumah siasah negeri ialah persengketaan yang sering berlaku di kalangan Raja-raja Melayu akibat berebut tanah jajahan dan takluk.

 

orang-bugisPeluang besar itu tiba buat pertama kalinya terhidang di Johor apabila Bendahara Husain meminta bantuan Raja-raja Bugis menumpaskan Raja Kechil, pemerintah negeri Johor-Riau-Lingga ketika itu, sekali gus seteru politiknya yang menghalang keinginan beliau merajai kerajaan Johor.

Bintang orang Bugis semakin terang apabila Raja Lumu (anak Daeng Chelak) dinobatkan sebagai Sultan Selangor yang pertama selepas bebas dari kekuasaan Johor.

Itu adalah zaman apabila Bugis masih dikenali sebagai bangsa dan bukan kumpulan etnik seperti sifatnya pada hari ini.

Bermula kedatangan mereka ke sini, meninggalkan tanah air mereka nun di Makasar dan Sulawesi, sedikit demi sedikit identiti bangsa – termasuklah bahasa, budaya, kesusasteraan, adat resam dan lain-lain – ‘ditelan’ peradaban bangsa yang lebih besar dan dominan iaitu Melayu.

Sehingga kini, hampir mustahil untuk kita mengenali orang Bugis di bumi Malaysia ini kalau tidak diakui oleh tuan punya badan sendiri – seperti yang dilakukan Najib.

Najib mungkin ingin mengulangi kegemilangan leluhurnya di Tanah Melayu pada satu masa dulu, tetapi yang mungkin dia tidak tahu ialah, kejayaan bangsa Bugis di sini tidak dapat dicapai dengan hanya menjeritkan falsafahnya lantang-lantang ke udara.

Sifat licik, pandai mengambil kesempatan, berakal kancil adalah antara kriteria orang Bugis yang membolehkan mereka berjaya menyusup masuk ke kancah politik Tanah Melayu dengan lincah, malah dapat menjadi pemain yang cemerlang dan disegani lawan.

 

mahathirMengapakah Najib menggunakan sentimen leluhurnya apabila berdepan Mahathir? Adakah dia ingin berkata sekurang-kurangnya keturunannya berasal dari rantau sebelah sini, bukannya dari Tanah Besar India, seperti yang sering dispekulasikan sebagai tanah asal keturunan Mahathir?

Rasisme Melayu – bukan Melayu mungkin senjata yang sering dihunus BN untuk menakut-nakutkan rakyat dalam usaha mereka kekal berkuasa, tetapi apakah bentuk senjata rasisme yang mungkin dicuba oleh Najib dalam perlawanannya dengan Mahathir?

Jika dia ingin mewujudkan pandangan umum bahawa dia – secara literal – lebih Melayu berbanding Mahathir, dia perlu melihat lebih jauh. Dan seperti Bugis, berakal kancil.

Isu pembelian lot tanah Tun Razak Exchange oleh Lembaga Tabung Haji adalah peluang terbaik beliau untuk menyingkirkan Datuk Seri Azeez Rahim, Pengerusi Tabung Haji dari golongan India Muslim itu.

Peluang yang terhidang di depan mata ini memang muncul pada masa yang tepat. Ia ibarat membawa bola menuju ke gawang gol yang luas ternganga. Najib hanya perlu pecat Azeez dan tindakannya tidak akan dipersoal sesiapa, malah berupaya mengundang pujian yang sudah lama hilang daripadanya.

Najib bukan sahaja akan meredakan kemarahan rakyat, malah mampu melakukan aksi “pukul anak sindir menantu” terhadap Mahathir. Dua dalam satu. To kill two birds with one stone. Tapi sayangnya, peluang keemasan ini tidak diambil oleh Najib.

Najib tidak cukup Bugis untuk itu.

Dan kenapa falsafah Bugis? Jika Najib berhasrat melawan Mahathir dari segi kekayaan kesusasteraan leluhur, dia agak berkelebihan. Masyarakat Bugis agak terkedepan dalam bidang kesusasteraan.

Naskhah kesusasteraan Bugis, La Galigo diperakui sebagai naskhah sastera paling panjang di dunia. Ia malah lebih panjang daripada epik Mahabharata yang wujud dalam tradisi kesusasteraan Hindu. Ia juga dikenal pasti sebagai wujud lebih awal daripada Mahabharata.

Manuskrip La Galigo

Manuskrip La Galigo

La Galigo, naskhah kesusasteraan tertua Bugis dikarang atas tanggungjawab seorang raja perempuan Bugis bernama I Colli Puji’e Arung Tanete. La Galigo merupakan penyepaduan antara tradisi sastera lisan dengan sastera tulisan.

Kalau Najib ingin mengatasi Mahathir dalam satu atau dua bidang tertentu, mungkin ruangnya di sini. Mahathir diketahui sebagai tidak pandai bersastera.

Sajaknya, Melayu Mudah Lupa terlalu polos dan tidak layak untuk dijadikan teks Komsas (komponen sastera) pun.

Tetapi itu pun dibangga-banggakan penyokongnya.

Jika Najib berhasrat menggunakan sastera sebagai senjata barunya, leluhurnya mempunyai khazanah yang cukup kaya. Falsafah Bugis yang dicungkilnya boleh jadi permulaan. Seterusnya, dia mungkin perlu tampil lebih hipster dengan mendeklamasikan sajak-sajak bernuansakan perjuangan Bugis di majlis-majlis rasmi kerajaan atau di festival belia.

Ya, Najib punya leluhur yang kaya dengan perbendaharaan ilmu yang boleh digunakan jika dia mahu. Cuma kata orang, untuk membuat sesuatu perlu bermula dari rumah.

Bagi Najib untuk mempraktikkan falsafah Bugis di rumahnya,  dia berdepan tugas hampir mustahil. Kerana di sana ada falsafah Minangkabau yang terlalu dominan untuk diatasi. – Roketkini.com